MAT Ju bersama Honda C70 yang diubahsuai untuk meredah banjir di Kampung Gerung. FOTO Nurul Fatihah Sulaini
MAT Ju bersama Honda C70 yang diubahsuai untuk meredah banjir di Kampung Gerung. FOTO Nurul Fatihah Sulaini
Nurul Fatihah Sulaini


Jerteh: Menjadi kebiasaan bagi mekanik di Kampung Gerung dekat Kampung Apal, di sini, menggunakan kreativiti untuk mengubah suai motosikal bagi merendah banjir.

Mekanik, Zulhilmi Sudin, 24, atau lebih dikenali panggilan Mat Ju berkata, setiap kali musim banjir, penduduk akan meminta mekanik mengubahsuai motosikal mengikut kreativiti masing-masing.

"Saya mengubahsuai Honda C70 menggunakan wayar mesin basuh bagi membolehkan ia digunakan untuk meredah banjir.

"Jika ikutkan saya sudah mula terbabit dalam kerja mengubahsuai motosikal untuk redah banjir sejak 2017 dan sering tambah baik supaya tahan lebih lama dalam air.

"Memang tak sangka video saya membonceng motosikal meredah banjir di Kampung Gerung tular kerana ketika itu saya sedang menguji kemampuan motosikal bersama seorang rakan," katanya di Kampung Apal, di sini.

Mat Ju berkata, kos untuk pengubahsuaian kira-kira RM30 saja dan kebiasaannya dia mengambil masa setengah jam menyiapkannya.

"Selalunya ubahsuai membabitkan tangki minyak supaya ia boleh diangkat ketika meredah banjir.

"Saya juga memasang wayar mesin basuh ke karburetor yang dipindahkan ke tempat tinggi dan di hala ke atas untuk mengelakkan dimasuki air.

"Kebiasaannya minyak yang diisi dalam tangki mampu bertahan lebih setengah hari bergerak dalam air pada kelajuan biasa," katanya.

Dia berkata, komponen yang diubahsuai boleh dibuka semula dan motosikal digunakan seperti biasa.

"Setakat ini saya sudah mengubahsuai kira-kira 10 motosikal milik sendiri serta rakan sekampung yang minta tolong apabila banjir," katanya.

Dia berkata, minat untuk mengubahsuai motosikal muncul sejak dia di sekolah menengah.

"Saya tidak mengikuti sebarang pendidikan formal dalam bidang ini sebaliknya belajar sendiri sama ada bekerja dengan orang dan belajar dengan kawan yang turut mahir membaiki motosikal.

"Buat masa sekarang saya masih bekerja dengan orang di bengkel motosikal Kampung Apal dan turut mempunyai bengkel kecilan di rumah.

"Apabila balik kerja saya akan sambung kerja-kerja membaiki serta ubahsuai motosikal di rumah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 November 2020 @ 8:30 PM