STANDEN (kanan) sanggup botakkan rambutnya. FOTO AGENSI
STANDEN (kanan) sanggup botakkan rambutnya. FOTO AGENSI
Agensi

London: Seorang wanita sanggup membotakkan rambutnya dan menjaja kisah sedih dia hanya menunggu ajal kerana menghidap kanser tahap kritikal.

Itu 'lakonan mantap' Toni Standen, 29, yang meraih simpati orang ramai hanya kerana mahu mendapatkan tajaan perbelanjaan bagi merealisasikan majlis perkahwinan impiannya.

Dalam temu bual akhbar, wanita itu sanggup menipu dengan menyatakan barah itu merebak ke seluruh badannya termasuk otak serta tulangnya.

Selain itu, dia memuat naik hantaran di Facebook menyatakan hayatnya berbaki dua bulan saja.

Malah, dia juga licik memancing simpati ramai apabila menyatakan mengimpikan bapanya, Derek, 57, yang mati akibat barah, 'bersamanya' pada majlis itu nanti.

Daily Mirror melaporkan terpedaya dengan kisah sedih itu, rakan wanita itu melancarkan kutipan dana menerusi laman GoFundMe untuk merealisasikan majlis perkahwinan impian Standen dan pasangannya, James.

Upacara perkahwinan berlangsung dengan sempurna di sebuah gereja di Widnes, Cheshire.

Ia diikuti majlis resepsi dengan kehadiran 150 tetamu, hasil kutipan dana berjumlah 8,500 Pound Sterling (RM46,122).

Selepas majlis itu, Standen dan James, 52, menginap di sebuah hotel.

STANDEN bersama James pada majlis perkahwinan mereka. FOTO AGENSI
STANDEN bersama James pada majlis perkahwinan mereka. FOTO AGENSI

Menurut seorang individu, wanita itu memperdayakan orang ramai untuk mengadakan majlis perkahwinan sebelum berbulan madu di Turki.

Pada Mac lalu, Standen dilaporkan turut bercuti bersama James ke Jerman, Republik Czech, Austria, Hungary dan Itali.

Namun, tembelang Standen terbongkar selepas dia mendakwa dijangkiti Covid-19, April lalu, sekali gus menimbulkan syak wasangka rakannya.

Akibat daripada perbuatan itu, Standen dihadapkan ke sebuah mahkamah di United Kingdom atas dakwaan melakukan penipuan antara Februari 2019 hingga April tahun ini.

Wanita itu sudah mengaku salah dan kini menanti mahkamah menjatuhkan hukuman pada prosiding berikutnya.

Dalam pada itu, Hakim Nicholas Sanders yang mendengar kes itu berkata, wanita terbabit melakukan pecah amanah yang serius dan boleh diperintahkan membayar semula wang sumbangan terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Disember 2020 @ 6:30 AM