Skuad Khas Harian Metro


Kuala Lumpur: Kartel rokok seludup kini semakin agresif mengeluar serta memasarkan rokok dalam pek lima batang (Kiddie Pack)dengan harga serendah bawah RM2 sekotak dengan mensasarkan golongan remaja dan B40.

Difahamkan, rokok pek lima batang sekotak itu memang untuk pasaran remaja bawah umur yang baharu berjinak dengan rokok dan masih mengharapkan duit saku daripada ibu bapa.

Sumber berkata, buat masa ini kartel masih mencuba pasaran dengan meletakkan produk haram termurah itu di kedai runcit diusahakan warga asing terutama kawasan hotspot sekitar ibu negara seperti di Chow Kit dan Kampung Baru selain turut dikesan di pasaran Pulau Pinang.

"Rokok dalam pek lima batang ini baharu sahaja dikesan. Kira-kira sebulan berada di pasaran tempatan untuk merekrut perokok baharu dalam kalangan remaja.

"Walaupun persekolahan secara fizikal ditangguhkan sementara akibat Covid-19, namun kartel sudah mula mengambil kesempatan mencuba pasaran dengan mensasarkan kepada golongan berkenaan.

"Sebaik sahaja penggal persekolahan dibuka semula, pek rokok lima batang ini akan dilambakkan di pasaran tempatan. Jika pelajar diberi duit saku RM5 pun sudah mampu membeli sekotak 'rokok budak sekolah' ini," katanya.

Skuad Khas Harian Metro turut menyamar sebagai pembeli dan mendapati ramai peruncit menjelaskan kehabisan stok kerana jualan mendapat sambutan.

Antara kedai runcit ditinjau yang hampir keseluruhannya dikuasai warga asing adalah di Jalan Raja Alang, Lorong Raja Bot, Lorong Haji Hussein, Jalan Raja Uda dan Jalan Raja Muda Musa.

Kaedah jualan, selain diletakkan di kedai runcit khususnya diusahakan warga asing itu, rokok seludup pek mini berkenaan turut ditawarkan secara dalam talian.

Namun, pemerhatian di Facebook (FB) mendapati jualan dalam talian untuk rokok dalam pek lima batang hanya boleh dibeli karton dan tidak dijual pek sekotak.

Harga sekarton rokok seludup pek berisi lima batang rokok dijual di FB adalah antara RM65 hingga RM75, mempunyai 40 pek sekarton yang bermakna harga sekotak jatuh kepada sekitar RM1.70 sekotak.

Tinjauan Harian Metro juga turut mendapati syarikat terbabit dalam kegiatan penyeludupan rokok turut mengeluarkan variasi pek 10 batang sekotak RM3.50 serta mengekalkan pek 20 batang sedia ada berharga sekitar RM5 hingga RM6 sekotak.

Padahal kerajaan sudah menetapkan mulai 1 September 2012 hanya membenarkan syarikat rokok mengeluarkan 20 batang rokok dalam satu paket.

Peraturan itu untuk mengurangkan kebolehcapaian dan kemampuan membeli rokok terutama oleh kanak-kanak, remaja dan golongan berpendapatan rendah selain membendung aktiviti promosi rokok melalui pemberian diskaun yang berlebihan.

Jika kegiatan penjualan ini tidak dibanteras habis-habisan oleh agensi berkenaan seperti Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM), dikhuatiri jumlah penghisap rokok seludup di negara ini akan meningkat berlipat kali ganda khususnya dengan pengenalan rokok bawah RM2 sekotak.

Mana-mana individu didapati tidak mematuhi harga minimum rokok mengikut Peraturan 8A(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau boleh didenda RM10,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Mengikut Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau, Peraturan 10A, tiada seorang pun boleh menjual atau menawarkan untuk jualan apa-apa hasil tembakau secara dalam talian.

Sabit kesalahan didenda tidak melebihi RM10,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.

Peraturan sudah ada tetapi berdasarkan modus operandi terbaharu sindiket rokok seludup dengan pengeluaran produk pek lima dan 10 batang menunjukkan sindiket tidak gentar malah mencabar undang-undang di negara ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Disember 2020 @ 4:48 PM
 Peniaga menjual rokok seludup secara terbuka ketika tinjauan rokok seludup di sekitar Kuala Lumpur.
Peniaga menjual rokok seludup secara terbuka ketika tinjauan rokok seludup di sekitar Kuala Lumpur.