Ekhwan Haque Fazlul Haque


Kuala Lumpur: "Saya membuktikan guru Malaysia setanding dengan guru seluruh dunia untuk memastikan generasi pelapis mendapat pendidikan terbaik," kata Samuel Isiah, 33.

Samuel menjadi finalis untuk 10 guru terbaik dunia dalam Anugerah Guru Global 2020 selepas bersaing dengan lebih 12,000 seluruh dunia.

Malam tadi, guru dari India, Ranjitsinh Disale terpilih bagi memenangi anugerah berkenaan yang disiarkan secara langsung menerusi laman web globalteacherprize.org.

Samuel berkata, walaupun tidak memenangi anugerah berkenaan, namun dia tetap berbangga apabila guru Malaysia diiktiraf di peringkat antarabangsa.

"Saya anggap ini bukti guru Malaysia terbaik dan sistem pendidikan kita mampu melahirkan generasi muda yang berkualiti seperti negara lain.

"Ini adalah pemangkin semangat buat saya dan guru di negara ini untuk terus berusaha memberikan yang terbaik kepada pelajar seiring dengan arus pemodenan dunia," katanya kepada Harian Metro.

Beliau kini melanjutkan pengajian peringkat Sarjana di Universiti New York di Amerika Syarikat dalam bidang Polisi Pendidikan dan Kepimpinan sejak setahun lalu.

Namun, pandemik Covid-19 menyebabkan dia meneruskan pengajian secara maya di Malaysia.

Sebelum ini, Samuel mendapat perhatian masyarakat negara ini apabila inovasi yang dilakukan dalam mengajar murid Orang Asli di Sekolah Kebangsaan Runchang, Rompin di Pahang sejak lapan tahun lalu.

"Sebaik saya tamat pengajian, ilmu dan pengalaman ketika belajar di Amerika Syarikat akan digunakan untuk memantapkan lagi sistem pendidikan negara," katanya.

FOTO Samuel Isiah

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Disember 2020 @ 10:44 PM