SITI tidak berdepan sebarang alahan teruk atau cabaran besar seperti kehamilan pertamanya.
SITI tidak berdepan sebarang alahan teruk atau cabaran besar seperti kehamilan pertamanya.
Najiy Jefri

IMPIAN penyanyi tersohor Datuk Seri Siti Nurhaliza untuk menimang cahaya mata kedua akhirnya dimakbulkan Allah apabila beliau kini hamil empat bulan.

Kembali hamil selepas dua tahun melahirkan puteri sulung, Siti Aafiyah Khalid, Siti mengakui jiwanya sensitif dan mudah tersentuh.

Siti berkata, rasa sayu dan hiba pantas meresap dalam diri, lebih-lebih lagi apabila terbaca atau melihat sesuatu yang boleh memancing emosi melalui paparan TV atau media sosial.

"Mengandung kali kedua ini cabarannya sangat berbeza berbanding kali pertama, dua tahun lalu. Selain mudah penat, saya sangat emosi terutama apabila membaca kisah sedih yang dipaparkan di TV dan Instagram. Saya boleh menangis dengan mudah apabila terbaca kisah yang menyentuh perasaan.

"Barangkali ini berlaku kerana faktor usia memandangkan tahun depan, usia saya mencecah 42 tahun," katanya pada sidang media virtual TwoGether Launching Live Streaming, baru-baru ini.

Pada acara itu, selain mengumumkan kerjasama Beausiti x Wonderlab dan pelantikan penyanyi, Nabila Razali sebagai duta produk Beautessence, Siti mengumumkan dirinya hamil empat bulan.

Siapa sangka, penantian untuk menimang cahaya mata kedua akhirnya menanti waktu untuk bersalin.

Namun, Siti mengaku pada mulanya jiwanya sering tertanya apakah hasratnya dimakbulkan Allah.

"Proses kehamilan ini sama seperti ketika hendak mendapatkan Siti Aafiyah. Perasaan saya ketika itu 50-50. Saya pernah melalui kegagalan sebelum mendapatkan Aafiyah dan kehadirannya saya anggap satu rezeki terindah dari Allah.

"Namun, untuk kehamilan kedua ini saya tertanya-tanya sama ada Allah akan beri lagi atau tidak. Allamdulillah saya sangat bersyukur apabila dapat tahu kehamilan kedua ini positif dan diberikan rezeki lagi. Hanya Allah saja yang tahu perasaan saya ketika itu," katanya.

Menurut Siti, mengikut perancangan beliau akan melakukan kaedah rawatan kesuburan in-vitro (IVF) lebih awal bagi membolehkan dia kembali mengandung.

Namun, usaha itu ditangguhkan berikutan situasi semasa yang tidak mengizinkan.

"Apabila hamil dalam situasi pandemik, diakui mendebarkan kerana risikonya adalah tinggi. Sepatutnya saya buat rawatan IVF lebih awal, namun terpaksa ditangguhkan berikutan Covid-19. Selepas keadaan kembali reda, baharulah saya memulakan proses itu," katanya.

Siti berkata, pada fasa awal, dia hanya duduk di rumah sambil menjaga kesihatan diri dan kandungan.

"Keluar rumah pun hanya sesekali. Ramai juga yang perasan apabila nampak perut. Tetapi mereka lebih suka membiarkan perkara ini keluar dari mulut saya sendiri.

"Hanya selepas empat bulan, baharulah saya sedia berkongsi berita gembira ini. Dalam tempoh itu, roh sudahpun ditiupkan dalam jasad bayi," kata isteri kepada Datuk Seri Khalid Mohd Jiwa ini.

Sementara itu, Khalid meluahkan rasa teruja apabila isteri tersayang hamil.

"Saya bersyukur kepada Allah dan sangat gembira kerana dikurniakan seorang lagi cahaya mata," katanya yang menemani Siti pada sidang media virtual itu.

Sebelum ini, spekulasi kehamilan Siti heboh diperkatakan apabila netizen ternampak 'baby bump' dalam beberapa foto yang dimuat naik penyanyi itu dalam media sosial.

Aksi Aafiyah mencium perut Siti seperti yang dilihat dalam video siaran langsung Instagram penyanyi itu, September lalu, menguatkan lagi spekulasi itu.

Siti yang dijangka bersalin pada April tahun depan berkata, dia tidak berdepan sebarang alahan teruk atau cabaran besar seperti kehamilan pertamanya.

"Setakat ini semuanya berjalan lancar. Tidak seperti awal kehamilan Aafiyah yang mana saya mengalami pendarahan. Saya bersyukur semuanya berada dalam keadaan baik dan doakan semoga semuanya selamat sehingga bersalin. Cuma saya sedikit gementar apabila hamil dalam situasi Covid-19, lebih-lebih lagi wanita hamil berisiko tinggi untuk dijangkiti," katanya.

Ditanya mengenai perasaan Aafiyah, Siti berkata, Aafiyah antara yang teruja dan sudah memahami keadaan dirinya yang sedang berbadan dua.

"Saya tak pasti dia faham atau tidak tapi dia tahu ada 'baby' di dalam perut. Saya juga sering tunjuk foto imbasan kehamilan mengenai keadaan bayi dalam kandungan saya," katanya yang belum mendedahkan jantina anak keduanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Disember 2020 @ 6:00 AM