MUHAMMAD Khidir bersama Michelle (kanan) ketika bertemu di Singapura. FOTO Ihsan Muhammad Khidir Samsudin
MUHAMMAD Khidir bersama Michelle (kanan) ketika bertemu di Singapura. FOTO Ihsan Muhammad Khidir Samsudin
Hajar Umira Md Zaki


Kuala Lumpur: Kejujuran Muhammad Khidir Samsudin, 25, mendapat perhatian dan pujian daripada warganet selepas dia memulangkan tablet pintar iPad jenama Apple kepada pemiliknya di Singapura.

Ketika dihubungi, Muhammad Khidir berkata, dia dan rakan-rakan sekerja sedang bekerja di pusat pelupusan sampah dan mereka menemui satu bungkusan plastik.

"Ketika saya mengumpul sampah dari tong kitar semula terbabit, saya menemui satu bungkusan plastik yang berisi iPad dan sebuah komputer riba.

"Dan saya periksa keadaan iPad itu masih berada dalam keadaan baik namun komputer riba terbabit sudah rosak," katanya yang berasal dari Batu Pahat, Johor.

Menurut Muhammad Khidir, dia membawa pulang iPad terbabit bersamanya dan mengecas sebelum menghubungi pemilik asal tablet pintar terbabit.

"Saya terus menghantar e-mel kepada Michelle (pemilik) dan mendapati dia sudah kehilangan iPadnya sejak setahun lalu.

"Selepas saya mendapat mesej daripada Michelle, saya terus membuat panggilan dan suaranya sangat seronok untuk mendapatkan iPadnya kembali.

"Selepas itu, Michelle belanja saya makan atas tanda terima kasih," kata graduan daripada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu.

Ketika ditanya mengenai didikan keluarganya, anak keempat daripada enam adik-beradik itu berkata, ibu bapanya tegas dalam mendidik anak-anak.

Katanya, dia banyak belajar daripada ibu bapanya serta ibunya pernah beritahu keikhlasan sangat penting dalam melakukan sesuatu perkara.

Dalam pada itu, Muhammad Khidir berkata, dia bekerja di Singapura adalah untuk mencari pengalaman sebelum kembali ke Malaysia.

Menurutnya, dia yang bekerja sebagai pengutip sampah di Singapura selama tiga bulan mempunyai kelulusan dalam Ijazah Sarjana Muda Sains Pembangunan dari UKM.

Muhammad Khidir berkata, dia juga giat mengumpul duit untuk masa depannya dan tidak boleh memilih pekerjaan ketika dunia sedang dilanda pandemik.

"Sekiranya ternampak pekerja pengutip sampah di Malaysia, berikan mereka senyum dan kalau boleh bagi juga air dan makanan.

"Ketika bekerja, saya rasa sangat gembira dan dihargai bila ada orang berbuat demikian. Siapa tahu sekecil-kecil kebaikan boleh buat seseorang gembira," katanya kepada Harian Metro.

Terdahulu, ciapan Muhammad Khidir mendapat lebih 3,000 ulang ciap dan 8,800 tanda suka.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Disember 2020 @ 10:57 PM