LETAK sepenuh usaha, kerja keras untuk dua lagunya Canggung dan Belenggu Rindu dapat  masuk ke pentas AJL35
LETAK sepenuh usaha, kerja keras untuk dua lagunya Canggung dan Belenggu Rindu dapat masuk ke pentas AJL35
Syafil Syazwan Jefri


WALAUPUN adat pertandingan ada kalah dan menang, tentunya bagi mereka yang menyertai sesuatu pertandingan inginkan kemenangan.

Bagi penyanyi, Wany Hasrita, dia juga tidak menafikan bahawa kelayakan dua lagu dendangannya iaitu Canggung dan Belenggu Rindu ke pentas Separuh Akhir Muzik Muzik 35 (SAMM35) turut membawa harapannya untuk ke pentas Anugerah Juara Lagu 35 (AJL35).

"Sejujurnya, saya memang meletakkan harapan untuk kedua-dua lagu itu supaya dapat melangkah masuk ke pentas AJL35," katanya membuka sesi temu bual.

Berkongsi mengenai perkara itu, Wany meletakkan sepenuh usaha dan kerja kerasnya bagi menjayakan persembahan untuk lagu solo dan duet bersama penyanyi legenda, Datuk Jamal Abdillah itu.

"Saya sentiasa mengingatkan diri saya, kalau melakukan sesuatu, lakukan dengan sepenuh hati dan tak boleh secara sambil lewa atau 'cincai'.

"Jadi, untuk persembahan lagu Canggung dan Belenggu Rindu di SAMM35 tempoh hari, saya buat persediaan secukupnya. Bila dah selesai, saya lihat balik, bahagian mana yang boleh saya perbaiki," katanya.

Di pelbagai platform media sosial, persembahan Wany menjadi bualan ramai dan deretan netizen melontarkan kata pujian buat dirinya.

"Alhamdulillah sebab orang nampak usaha saya untuk melakukan yang terbaik. Walaubagaimanapun, saya tak boleh terlalu selesa. Kalau dapat ke AJL35, lebih banyak lagi aspek yang perlu saya tambah baik," katanya.

Dalam pada rancak bercerita mengenai harapan untuk ke pentas AJL35, Wany juga tidak lokek untuk membongkar kisah fobia yang dialaminya sebelum dua lagu nyanyiannya itu diumumkan layak ke pentas SAMM35.

SEMANGAT Wany berkobar-kobar ingin lakukan yang terbaik.
SEMANGAT Wany berkobar-kobar ingin lakukan yang terbaik.

"Kali pertama saya tampil di pentas AJL adalah ketika mempersembahkan lagu Menahan Rindu yang juga single pertama saya. Waktu itu, banyak benda yang tidak menjadi dan sedikit sebanyak, membuatkan saya rasa fobia sebab AJL adalah pentas besar.

"Jadi, selepas itu saya nampak bahawa saya belum bersedia lagi untuk bertanding di pentas berprestij ini. Tapi, tahun lalu, apabila lagu Terlalu Memuja tak 'lepas' masuk ke AJL, timbul pula rasa kecewa.

"Lama kelamaan, mental saya mula bersiap sedia untuk berjuang. Tahun ini, bila dua lagu nyanyian saya diumumkan layak ke SAMM35, semangat saya jadi berkobar-kobar dan ingin lakukan yang terbaik," katanya.

Usai bercerita mengenai karier, Wany juga berkongsi mengenai pengalamannya menjalani kuarantin selepas menjalani ujian swab baru-baru ini.

"Pengalaman berada dalam kuarantin adalah pengalaman yang takkan saya lupakan. Alhamdulillah, Khamis lalu saya dah jalani ujian darah yang juga ujian kedua untuk Covid-19 dan saya disahkan negatif.

"Apabila dimaklumkan perlu menjalani kuarantin, benda paling mencabar adalah untuk mencari tempat tinggal. Kalau di hotel pun, tidak semua hotel menjadi hotel panel untuk kuarantin.

"Jadi, saya terpaksa mencari rumah sewa untuk dijadikan tempat kuarantin. Selepas menjelaskan semuanya kepada pemilik rumah, alhamdulillah sebab ada pemilik yang bersetuju untuk terima," katanya.

Wany juga mengucapkan terima kasih kepada syarikat pengurusannya yang banyak membantu menguruskan jadual kerjanya.

"Bila perlu menjalani kuarantin, banyaklah kerja-kerja yang tergendala dan terpaksa ditunda ke tarikh lain. Tapi, saya bersyukur dan berterima kasih kepada syarikat pengurusan saya yang banyak membantu.

"Kalau ada kerja-kerja seperti mesyuarat dan sebagainya, itu semua dijalankan secara virtual untuk memudahkan saya serta klien," katanya.

Yang pasti, Wany berharap agar krisis pandemik ini segera berakhir kerana apa yang berlaku memberi kesan kepada seluruh masyarakat di seluruh dunia.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Disember 2020 @ 7:00 AM