Sumareh
Sumareh
Oleh Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Peminat bola sepak tempatan seolah-olah diberi harapan palsu selepas tonggak naturalisasi negara, Mohamadou Sumareh, 26, hanya mampu bertahan tiga bulan di Liga Thailand.

Ia susulan pemergian Sumareh pada September lalu seakan-akan membayangkan kebangkitan pemain negara yang mula mendapat perhatian kelab luar.

Namun tempoh tiga bulan bersama kelab Police Tero FC nyata menimbulkan tanda tanya adakah benar kehadirannya di sana sekadar persinggahan di kala dia sebelum ini berdepan isu kontroversi bersama Pahang.

Berdasarkan laporan media tempatan, Goal Thailand, kontrak Sumareh bersama pasukan itu sah tidak dilanjutkan.

"Sumareh tidak bersama Police Tero selepas tidak ditawarkan kontrak lanjutan daripada pasukan itu. Bintang Gambia itu dilaporkan menjalani persiapan untuk kembali ke Malaysia.

"Untuk rekod bersama Police Tero FC, dia hanya beraksi dalam empat perlawanan dan diturunkan dalam kesebelasan utama hanya dalam satu perlawanan dengan 111 minit perlawanan secara keseluruhan tanpa sebarang gol.

"Terdahulu, penghijrahan Sumareh diselubungi isu panas membabitkan bekas majikan Pahang apabila pemain sayap itu mengaktifkan klausa 8.7 untuk menamatkan kontrak sebelah pihak.

Tindakan itu diambil selepas dia mendakwa pengurusan Pahang gagal membayar gajinya, namun Pahang menafikannya dan masalah berkenaan dipanjangkan ke Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (Fifa) oleh Sumareh.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Disember 2020 @ 7:00 AM