Jurulatih skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe
Jurulatih skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe

Kuala Lumpur: Pengendali Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe jelas hilang kata-kata selepas skuad kebangsaan terpaksa membatalkan kem latihan susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula semalam hingga 26 Januari ini.

Menurut Cheng Hoe, perancangan latihan yang pertama selepas setahun tidak berkumpul bersama sepatutnya bermula Sabtu ini, namun pihaknya terpaksa akur demi keselamatan pemain ekoran peningkatan mendadak kes Covid-19 ketika ini.

Justeru, hanya satu permintaan Cheng Hoe buat anak didiknya iaitu sentiasa bersedia dan berfikiran positif apabila dipanggil bagi mempersiapkan pasukan mengharungi dua aksi getir menentang Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Vietnam dalam Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023, hujung Mac ini.

"Walaupun dah setahun kita tak berlatih bersama, saya hanya mahu pemain berfikiran positif dan percaya pada diri sendiri. Ia penting kerana sifat positif boleh membantu kita untuk bersiap sedia menempuh dua perlawanan yang saya kira mencabar kita. Kita dah tak cukup masa, jadi bila dipanggil nanti saya harap mereka bersedia," katanya ketika dihubungi Arena Metro, semalam.

Kelmarin, Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin mengesahkan pembatalan kem latihan itu selepas kerajaan mengumumkan perlaksanaan PKP bersasar.

Jelas Hamidin, FAM akur dengan pengumuman itu bagi mengekang kes Covid-19 yang semakin membimbangkan hingga mencecah empat angka.

Dalam perkembangan sama, Cheng Hoe terpaksa mengubah perancangan memanggil pemain baharu selepas latihan pada bulan ini dibatalkan. Sebaliknya, tonggak utama skuad Harimau Malaya akan dipanggil pada Mac depan.

"Saya dan barisan kejurulatihan sentiasa berhubung dengan pemain-pemain (tonggak utama) agar mereka sedia apabila dipanggil kelak," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 January 2021 @ 6:45 AM