Foto hiasan
Foto hiasan
Muhaamad Hafis Nawawi

Kuala Lumpur: Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Wellington, New Zealand mengesahkan seorang rakyat Malaysia meninggal dunia akibat lemas ketika beriadah bersama rakannya.

Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Wellington dalam kenyataannya berkata, Muhammad Ehsan Zakaria, 24, ditemukan lemas ketika beriadah bersama beberapa rakan di Pinders Pond, Roxburgh, New Zealand pada 7.30 malam waktu tempatan.

Menurutnya, mangsa adalah bekas pelajar tajaan Majlis Amanah Rakyat (MARA) di Auckland.

"Mangsa dipindahkan ke Dunedin Hospital di selatan negara itu untuk proses bedah siasat.

"Pihak keluarga mangsa sudah sedia maklum mengenai kejadian itu dan Suruhanjaya Tinggi akan menghulurkan bantuan yang sewajarnya kepada keluarga mangsa," katanya.

Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Wellington turut menzahirkan ucapan takziah dan simpati kepada keluarga mangsa dan kenalan di atas kehilangan Muhammad Ehsan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 January 2021 @ 10:32 PM