Pemilik skuad The Red Warriors (TRW) Kelantan FC Norizam Tukiman. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Pemilik skuad The Red Warriors (TRW) Kelantan FC Norizam Tukiman. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Oleh Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Pertelingkahan antara Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Kelantan FC tampak memasuki episod baharu apabila badan induk bola sepak negara itu 'membalas serangan' pemilik kelab Red Warriors, Norizam Tukiman.

Menurut Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam, pihaknya kecewa dengan sikap terburu-buru Norizam yang 'menyerang' FAM tanpa memeriksa ketepatan laporan media.

Malah, tindakan usahawan tempatan itu mengaitkan masalah lain tidak harus berlaku dan ia boleh diselesaikan sebaik-baiknya.

"FAM ingin mengingatkan pemilik Kelantan FC, Norizam Tukiman atau lebih dikenali sebagai ZamSaham agar tidak terburu-buru dalam mengeluarkan sebarang kenyataan di media sosial tanpa memeriksa ketepatan fakta tersebut terlebih dahulu dan cuba menyerang FAM dengan mengaitkan pula isu-isu yang tiada kena mengena dalam hal ini.

"Perkara seperti ini boleh dielakkan daripada berlaku jika Norizam menghubungi terus Setiausaha Agung FAM untuk mendapatkan penjelasan atau pengesahan," kata Stuart.

Kelmarin, Norizam berang dengan tindakan FAM yang mengancam untuk memotong tiga mata jika Persatuan Bolasepak Kelantan (Kafa) gagal menyelesaikan tunggakan gaji 11 bekas pemainnya.

FAM menerusi Jawatankuasa Statusnya Rabu lalu, memutuskan Kafa perlu menyelesaikan tunggakan berjumlah RM187,778.92 dalam tempoh terdekat.

Bagaimanapun, risiko pemotongan tiga mata yang akan dikenakan kepada Kelantan FC sekiranya gagal dilunaskan Kafa nyata dianggap tidak adil oleh Norizam ketika pasukannya kini sudah bergerak berasingan selari dengan konsep penswastaan.

Kemarahannya tidak terhenti di situ, apabila beliau mempersoalkan pula bayaran hak siaran aksi Liga Malaysia dan elaun pengadil yang belum dibayar.

Bagaimanapun, Stuart kemudiannya tampil menafikan ada mengeluarkan kenyataan Kelantan FC akan dikenakan pemotongan tiga mata dalam Liga Perdana musim ini.

Katanya, laporan itu hanya rumusan yang dibuat sendiri oleh wartawan yang menemubualnya dan beliau mengelak untuk menjawab soalan mengenai pemotongan mata itu supaya tidak mengeruhkan keadaan di antara Kafa dan Kelantan FC.

Sementara itu, menurut peguam undang-undang sukan, Zhafri Aminurashid berkata isu terkait di antara Norizam dan FAM berhubung pemotongan mata sememangnya terdapat dalam garis panduan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (Fifa).

"Berdasarkan Artikel 24 Regulations on the Status and Transfer of Players (January 2021 edition), jelas menyatakan sekiranya sesuatu kelab menggunakan slot atau tempat yang diterima daripada entiti yang sebelumnya adalah dikenali sebagai sporting successor.

"Sehubungan itu, semua liabiliti dan hukuman boleh dilanjutkan kepada pemilik baharu jika menggunakan slot atau tempat entiti yang mempunyai kes atau hukuman terdahulu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 January 2021 @ 7:01 AM