Petugas Kesihatan Daerah Kuantan, melakukan proses pendaftaran kepada orang ramai yang ingin melakukan 'Swab Test' secara pandu lalu di Klinik Kesihatan Indera Mahkota. FOTO FARIZUL HAFIZ AWANG
Petugas Kesihatan Daerah Kuantan, melakukan proses pendaftaran kepada orang ramai yang ingin melakukan 'Swab Test' secara pandu lalu di Klinik Kesihatan Indera Mahkota. FOTO FARIZUL HAFIZ AWANG
Oleh Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Tiga pertimbangan Yang di-Pertuan Agong (YDPA) untuk Pengisytiharan Proklamasi Darurat berikutan berlaku ancaman ke atas keselamatan negara, kehidupan ekonomi dan ketenteraman awam.

Pakar Perlembagaan, Prof Madya Dr Shamrahayu Ab Aziz berkata, apabila pengisytiharan darurat diperkenan YDPA, Perlembagaan akan digantung dan pentadbiran negara ditentukan pihak eksekutif.

"Tentera juga boleh mengambil alih hal berkaitan keselamatan sekiranya keadaan memerlukan, lebih-lebih
lagi apabila darurat diisytiharkan kerana berlakunya ancaman kepada keselamatan negara.

"Bagaimanapun, tidak disebut sama ada darurat kali ini membabitkan politik atau kesihatan, tetapi mengikut Perkara 150(1) Perlembagaan Persekutuan apabila berlaku ancaman serius antara salah satu tiga asas berkenaan, maka YDPA boleh mengisytiharkan darurat," katanya kepada Metro Ahad.

Menurutnya, alasan di sebalik pengisytiharan darurat berikutan ancaman penyebaran Covid-19 dan banjir seperti disebut dalam titah diraja baginda.

"Darurat bermaksud suatu keadaan berkaitan keselamatan, ekonomi dan ketenteraman awam yang tidak dapat dikawal melalui sistem pentadbiran biasa.

"Pengisytiharan darurat adalah suatu pemasyhuran yang dibuat oleh YDPA melalui suatu pewartaan iaitu keadaan itu telah wujud atau hampir berlaku," katanya.

Menurutnya, syarat yang diperlukan ialah sudah dibuktikan elemen yang dinyatakan iaitu ancaman atau darurat atas keselamatan, kehidupan ekonomi atau ketenteraman awam telah atau hampir benar berlaku.

"Dan saya percaya darurat diisytiharkan baginda berikutan ancaman kesihatan yang termasuk dalam ketenteraman awam iaitu pandemik Covid-19," katanya.

Selain itu, Dr Shamrahayu menjelaskan, darurat kali ini dilakukan tanpa pembubaran Parlimen yang seterusnya tidak membubarkan kerajaan.

"Kerajaan hanya akan terbubar sekiranya Parlimen dibubarkan.

"Kerajaan masih lagi dapat berfungsi namun ia tidak lagi mempunyai hak untuk menasihati YDPA dalam hal membuat ordinan bagi tujuan darurat dan ini bergantung kepada kuasa budi bicara baginda," katanya.

Katanya, mengenai tempoh masa darurat, Perlembagaan Persekutuan juga tidak menetapkan tempoh tertentu untuk tujuan darurat kerana sesuatu yang diputuskan pastinya mengikut keperluan dan berasaskan kepada tuntutan keadaan.

"Proklamasi darurat yang dibuat hendaklah dibentangkan kepada Parlimen apabila bersidang kelak dan ia juga boleh dirungkaikan, maksudnya ditamatkan Parlimen melalui suatu ketetapan.

"Begitu juga dengan ordinan dibuat bagi tujuan darurat. Kedua-duanya hendaklah dibentangkan kepada Parlimen. Hal ini disebut pada Fasal 150(2C).

"Bagaimanapun, proklamasi darurat tidak boleh dipanjangkan melangkau tarikh 1 Ogos 2021 sekiranya ia
diwartakan sehingga 1 Ogos saja. Sekiranya perlu, satu pengisytiharan darurat yang lain perlu dilakukan," katanya.

Menurutnya, darurat bukan untuk pihak berkuasa menyalahguna kuasa, tetapi adalah untuk menstabilkan keadaan dan memberi manfaat untuk Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 January 2021 @ 6:45 AM