Taufik sedang menyunting untuk Wikipedia.
Taufik sedang menyunting untuk Wikipedia.
Oleh Nazarali Saeril


Kuala Lumpur: Bermula dengan memasukkan maklumat tulisan Jawi bagi perkataan 'teks', Taufik Rosman, 22, yang juga penyunting Wikipedia Malaysia sudah menterjemah kira-kira 1,000 rencana dalam Bahasa Inggeris kepada Bahasa Melayu.

Untuk rekod, Taufik adalah ahli kepada Wikimedia Community User Group (CUG) Malaysia dan seorang daripada lapan ahli yang aktif menyunting untuk Wikipedia serta Wikikamus.

Menurut Taufik, ketika melakukan suntingan itu, dia berada di tingkatan dua di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), Sandakan.

"Ketika itu, saya bertugas sebagai pustakawan. Saya dapati, ramai rakan khasnya di pedalaman kekurangan capaian untuk mendapatkan sesuatu maklumat akibat kekurangan perpustakaan dan sebab lain.

"Saya pula dikelilingi kamus Wikipedia sepanjang bertugas di perpustakaan sekolah. Melaluinya, tercetus idea untuk memudahkan usaha rakan mendapatkan maklumat," katanya.

Menurut Taufik, dia memulakan usahanya itu dengan mengisi maklumat tulisan Jawi bagi perkataan teks dalam Wikikamus.

Bagaimanapun, katanya, penyunting Wikikamus kemudiannya mengundurkan maklumat berkenaan.

"Saya bertanya mengapa ia diundurkan dan penyunting itu memaklumkan, format yang saya gunakan tidak tepat. Dia kemudiannya mengajar saya untuk melakukan dengan kaedah yang betul.

"Sejak itu, saya tidak menoleh ke belakang dan terus berusaha, walaupun secara sukarela untuk menterjemah sebanyak mungkin rencana dalam Bahasa Inggeris ke Bahasa Malaysia selain perkataan etnik ke Wikikamus," katanya.

Menurut Taufik yang kini menuntut di Universiti Malaysia Sabah (UMS) dalam bidang pendidikan, semua maklumat atau rencana yang dimasukkan ke Wikipedia seperti budaya, sejarah atau geografi dapat dicapai atau dibaca oleh semua orang.

Katanya, dia kini masih lagi aktif menyunting selain menyelia untuk Wikipedia serta Wikikamus walaupun berdepan cabaran.

"Cabaran utama ialah masa. Sebelum ini, saya menyumbang setiap hari namun ketika ini kerana banyak tugasan berkaitan pengajian, saya hanya dapat lakukan sekali sekala dalam seminggu.

"Saya cuba sebaik mungkin untuk terjemah satu rencana setiap hari, jika berkelapangan," katanya.

Menurutnya, cabaran kedua membabitkan sumber iaitu usaha mendapatkan bahan sesuai.

Katanya, dia akan mendapatkan bahan daripada akhbar, jurnal selain ke perpustakaan bagi memastikan maklumat diperlukan sentiasa segar.

Taufik turut berusaha mendapatkan kamus bahasa etnik untuk dimasukkan ke Wikikamus walaupun tugas itu memang sukar.

"Antara tugas sebagai penyunting Wikipedia ialah mengatasi masalah seperti vandalisme. Contoh, ada rencana dalam Wikipedia yang diubah faktanya selain dipenuhi perkataan kesat, maka saya akan kosongkan atau undurkan rencana berkaitan.

"Saya juga akan beri amaran atau sekat terus penulis terbabit bagi memastikan Wikipedia bebas daripada unsur negatif seperti itu," katanya.

Kerana itu, katanya, perlu ada penyunting serta penyelia bagi memastikan kandungan Wikipedia Bahasa Melayu sentiasa segar dan berfakta.

"Saya juga pernah dijemput ke luar negara untuk bersama-sama komuniti Wikipedia seperti ke Sweden serta Indonesia.

"Walaupun kami semua bertugas secara sukarela, namun kami gembira kerana dapat merealisasikan misi Wikipedia iaitu membebaskan pengetahuan untuk semua," katanya.

Wikipedia
Wikipedia

Cabaran lengkapkan Wikikamus

Bukan mudah untuk merealisasikan hasrat memiliki Wikikamus lengkap bahasa etnik dan sebagai perbandingan, bahasa Kadazan Dusun serta Iban masih tidak lengkap walaupun projek ini dimulakan sejak 10 tahun lalu.

Kedua-dua bahasa ini pula masih dalam tahap ujian untuk dimasukkan ke dalam Wikikamus.

Penyunting merangkap penyelia Wikimedia Malaysia Taufik Rosman, 22, berkata, masih banyak yang perlu dilakukan untuk memastikan Wikikamus bahasa etnik berkenaan lengkap.

"Bahasa Bajau Sama juga sedang dalam usaha dilengkapkan sejak projek bermula pada Disember tahun lalu sebelum dimasukkan ke dalam Wikikamus.

"Cabaran utama ialah kekurangan sumber maklumat, masa serta sukarelawan bagi mengemas kini selain mendapatkan bahan diperlukan," katanya.

Menurut Taufik, di sekolah, pelajar belajar bahasa Kadazan Dusun, Iban selain Semai.

Katanya, dia berharap tiga bahasa ini turut memiliki Wikipedia serta Wikikamus sendiri bagi memudahkan guru serta pelajar mendapatkan lebih banyak bahan bacaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 January 2021 @ 6:45 AM