AHMAD Zaim menunjukkan nota terpaksa menangguhkan pernikahannya semalam kerana PKP. FOTO ihsan Ahmad Zaim Nasreen Musa.
AHMAD Zaim menunjukkan nota terpaksa menangguhkan pernikahannya semalam kerana PKP. FOTO ihsan Ahmad Zaim Nasreen Musa.
Murnaena Muhammad Nasir


Kuala Lumpur: "Nota itu ditulis sebagai tanda mengubat hati pasangan kerana terpaksa menangguhkan tarikh pernikahan kami," kata anggota polis Ahmad Zaim Nasreen Musa yang terpaksa menangguhkan pernikahannya semalam (17 Januari 2021).

Ahmad Zaim Nasreen, 25, berkata, keputusan itu dibuat sebaik saja pengumuman kerajaan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di enam negeri iaitu Pulau Pinang, Selangor, Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan), Melaka, Johor dan Sabah.

Menurutnya, perbezaan negeri antara pasangannya, Mas Ayurita Azizul, 24, yang berkerja di Melaka dan keluarga yang menetap di Negeri Sembilan manakala dia pula perlu bertugas di Kuala Lumpur membuatkannya mengambil keputusan sedemikian.

"Tiada masalah untuk cuti pada tarikh itu, namun disebabkan majlis tidak dibenarkan, jadi kami ambil keputusan untuk menangguhkannya.

"Saya turut ambil keputusan untuk bertugas di sekatan jalan raya (SJR) bagi membantu anggota lain mengawal pematuhan prosedur operasi standard (SOP) rakyat ketika ini," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Ahmad Zaim berkata, dia tidak berniat untuk mendapat sebarang perhatian masyarakat selepas gambarnya bersama nota bertulis 'Sepatutnya hari ini saya nikah, 17 Januari 2021' ketika bertugas di SJR itu tular.

Menurutnya, gambar itu hanya untuk tatapan keluarga dan keluarga tunang, tetapi ia dikongsikan abang sepupu yang mahu berkongsi rasa simpatinya.

Katanya, rasa sedih tidak dapat melangsungkan pernikahan itu dirasai ahli keluarga lain kerana sepatutnya mereka berkumpul setelah sekian lama.

"Tarikh 17 Januari sudah dirancang sejak pertengahan tahun lalu iaitu selepas tarikh pertunangan pada Mei.

"Pada hari pertunangan yang diadakan di kampung halaman saya di Gemas, Negeri Sembilan, saya tidak dapat turut serta kerana perlu menjaga SJR.

"Tarikh itu sebenarnya dipilih sempena hari jadi pasangan iaitu 18 Januari, sehari sebelum tarikh bahagia kami," katanya.

Menurut anak bongsu daripada empat beradik itu, nota itu dibuat selepas menerima kebenaran daripada ketua pegawai SJR bertugas untuk perkongsian keluarga.

"Kepada mereka yang mengalami nasib sama kerana perbezaan negeri, bersabarlah mungkin ada manisnya di akhir nanti.

"Lebih baik kita sama-sama mematuhi SOP supaya kes Covid-19 menurun," katanya yang bertugas sebagai anggota polis sejak dua tahun lalu.

Terdahulu, perkongsian penangguhan pernikahannya tular di media sosial selepas dikongsi abang sepupunya, Mohd Ridzuan Baharudin di Facebook.

Menerusi perkongsian itu Mohd Ridzuan menzahirkan kesedihannya atas situasi adik sepupunya itu yang sepatutnya meraikan detik hari bersejarahnya semalam, namun terpaksa ditangguhkan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 January 2021 @ 9:15 PM