Redzuan Muharam

Kuala Lumpur: "Memang sedih kerana ibu dan ayah ada di depan mata, tetapi rasa jauh kerana tidak dapat bersalaman, apatah lagi memeluk dan mencium mereka. Saya berasa seperti nikmat itu sudah ditarik," demikian luahan bekas pesakit Covid-19, Muhammad Iqbal Abdul Halik.

Muhammad Iqbal, 25, berkata, pengalaman itu dilaluinya selepas tamat menjalani kuarantin di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang, Selangor dan pulang ke rumahnya di Taman Sri Kelah, Batang Kali, Selangor, Sabtu lalu.

Menurutnya, sejak pulang ke rumah, dia hanya bersendiri, malah paranoid untuk keluar .

Katanya, ibunya, Zalina Bahamin, 52, dan bapanya, Abdul Halik Razali, 52, ada datang menjenguk, tetapi sekadar melihatnya dari luar rumah.

Kisah Muhammad Iqbal mendapat perhatian warganet selepas dia memuat naik video berkenaan di TikTok.

Bercerita lanjut, Muhammad Iqbal berkata, dia tidak tahu bagaimana boleh dijangkiti Covid-19 kerana tiada simptom atau gejala penyakit berkenaan.

"Namun, saya ke London, United Kingdom (UK) pada 21 November lalu kerana melanjutkan pengajian Sarjana Inovasi Perusahaan di Universiti Coventry, jadi ada kemungkinan dijangkiti di sana.

"Saya berada di sana hampir dua bulan dan pulang ke Malaysia pada 7 Januari lalu berikutan pembatalan kelas secara bersemuka di kampus pada saat akhir akibat pelaksanaan sekatan pergerakan di London.

"Kesukaran mendapatkan makanan halal disebabkan menetap di kawasan agak jauh iaitu Greenwich membuatkan saya nekad pulang ke tanah air.

"Malah, saya pernah berdepan pengalaman ditahan dan digeledah barangan oleh polis yang melakukan pemeriksaan ketika menaiki tren untuk ke satu tempat," katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

Menurut Muhammad Iqbal, dengan bantuan pihak kedutaan Malaysia di London, dia berjaya pulang ke tanah air.

Namun, dugaannya tidak terhenti di situ apabila disahkan positif Covid-19 pada 10 Januari lalu hasil ujian saringan dijalankan sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang pada 7 Januari.

"Sebaik tiba di Malaysia, saya ditempatkan di sebuah hotel dan tiga hari kemudian, saya dihubungi pegawai Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan saya positif Covid-19.

"Tak sangka positif kerana saya tidak mengalami demam ,batuk atau simptom lain, jadi berasa sedih yang teramat ketika menerima panggilan itu.

"Saya berasa seperti masa depan sudah gelap, malah sewaktu ambulans datang, saya tidak membuat persediaan langsung dan hanya membawa bagasi berisi baju tanpa makanan, peralatan makanan serta lain-lain kelengkapan," katanya.

Anak bongsu daripada dua beradik itu berkata, dia mengambil masa selama tiga hari untuk menyesuaikan diri dan menerima hakikat dijangkiti Covid-19 sebaik dimasukkan ke PKRC di MAEPS.

MUHAMMAD Iqbal paranoid untuk keluar dari rumah selepas dibenarkan keluar dari PKRC MAEPS manakala ibu bapanya hanya datang melawat di luar rumah. FOTO ihsan Muhammad Iqbal Abdul Halik.
MUHAMMAD Iqbal paranoid untuk keluar dari rumah selepas dibenarkan keluar dari PKRC MAEPS manakala ibu bapanya hanya datang melawat di luar rumah. FOTO ihsan Muhammad Iqbal Abdul Halik.

Katanya, lebih membuatkan dia tertekan apabila ada segelintir pesakit di situ memandang serong terhadapnya kerana menyangka dia pembawa Strain Covid-19 yang dilaporkan menular di UK.

"Ada beberapa rakan yang tidak senang dan menyalahkan tindakan saya pulang ke Malaysia .

"Beberapa pesakit di pusat kuarantin memandang serong pada mulanya, namun mereka dapat menerima selepas saya memberitahu bukan pembawa virus itu.

"Alhamdulillah, saya mendapat layanan baik daripada jururawat dan doktor sepanjang tujuh hari di situ, malah semua pesakit bagaikan sebuah keluarga besar walaupun berlainan kaum," katanya.

Muhammad Iqbal berkata, dia pernah menghidap wabak Influenza A (H1N1) selepas pulang dari Hong Kong, 12 tahun lalu namun menyifatkan ujian sebagai pesakit Covid-19 lebih berat buatnya.

Katanya, ia berikutan H1N1 ada ubat, tetapi Covid-19 masih tiada ubat dan cabarannya memang berbeza.

"Aaya percaya, Allah menguji hambanya yang kuat dan mampu. Saya reda cuma buat masa ini, takut untuk bertemu dengan keluarga terutama ibu yang mempunyai penyakit radang rawan sendi lutut atau lebih dikenali osteoarthritis .

"Buat masa ini, saya isi masa dengan menguruskan perniagaan perancang perkahwinan yang sangat terkesan disebabkan pandemik selain mengikuti kuliah secara dalam talian pada sebelah malam.

"Percayalah ,Covid-19 bukan propaganda dan diharapkan masyarakat terus menjaga prosedur operasi standard (SOP) kerana kita tidak tahu sampai bila akan hidup dengan wabak ini," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 January 2021 @ 9:15 PM