Najiy Jefri


BARANGKALI tahun ini negara belum terlepas daripada terus diuji dengan penularan Covid-19.

Namun setiap ujian dan dugaan yang hadir pasti ada penawar yang akan menyembuhkan segala duka dan masalah yang dihadapi kini.

Bagi pelakon, Fikry Ibrahim walaupun berdepan ujian namun dia enggan melayani masalah yang dihadapi sebagai satu beban yang tidak boleh diselesaikan.

Fikry berkata, perniagaan salun rambut khusus untuk wanita yang diusahakan di Putrajaya terpaksa bertukar lokasi apabila bangunan hotel yang menjadi lokasi salun itu ditutup operasi.

"Setiap perkara yang berlaku dalam hidup ini pasti ada hikmah di sebaliknya. Saya enggan terlalu memikirkan masalah yang dihadapi, tapi saya nak cari penyelesaian terbaik untuk kelangsungan hidup saya.

"Walaupun salun yang saya usahakan sejak tahun lalu ada pasang surut, saya bersyukur ia masih mampu bertahan kerana semangat dimiliki kakitangan saya.

"Tahun lalu memang bukan tahun yang mudah, lebih-lebih lagi saya yang menjalankan beberapa perniagaan. Sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, salun tidak dapat beroperasi untuk tempoh beberapa bulan, kemudian dapat beroperasi semula dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

"Namun tahun ini sekali lagi diuji dengan PKP. Saya sudah bersedia dengan perkara itu, cuma apabila dimaklumkan hotel terbabit bakal ditutup dan salun saya perlu bertukar lokasi saya perlu menyelesaikan masalah ini pula," katanya.

Walaupun berdepan dugaan dan ujian, Fikry enggan mengalah terlalu cepat sebaliknya ada tanggungjawab yang perlu dilakukan.

MASIH mencari wanita yang tepat untuk jadi suri hidup.
MASIH mencari wanita yang tepat untuk jadi suri hidup.

"Apabila lokasi perlu diubah, sedikit sebanyak ia menjejaskan saya, tapi saya tak boleh mengalah. Ini kerana, saya ada tanggungjawab terhadap pekerja yang mencari rezeki dengan kerja ini.

"Saya tak boleh lepas tangan dalam situasi yang mencabar ketika ini. Saya percaya kalau kita tolong orang, Allah akan permudahkan segala urusan dan memberi ganjaran lebih baik," katanya.

Walaupun permulaan tahun ini masih memperlihatkan keadaan negara yang berdepan peningkatan kes Covid-19 sehingga memaksa kerajaan menguatkuasakan PKP semula, namun Fikry menanam impian untuk melakukan perkara yang baik demi melihat orang lain bahagia.

"Tahun ini azam saya nak buat lebih banyak kebaikan dan ingin memberikan sesuatu kepada masyarakat. Saya nak lihat lebih ramai rakyat Malaysia yang gembira.

"Jika saya mampu memberi nilai positif kepada masyarakat, saya percaya ia akan memberi impak kepada mereka.

"Soal kerjaya seni, saya nak kembangkan lagi bakat lakonan saya. Saya ada impian untuk membawa nama ke luar negara dan mengharapkan lebih banyak projek yang berkualiti dan mencabar.

PASANG impian untuk bawa nama ke luar negara.
PASANG impian untuk bawa nama ke luar negara.

"Berkaitan peniagaan, saya akan cuba mencipta perniagaan yang mampu memberi pulangan yang baik untuk kelangsungan hidup saya dan keluarga," katanya.

Beralih mengenai kehidupan peribadi, Fikry berkata, dia masih mencari wanita yang tepat untuk menjadi suri hidupnya.

Enggan terburu-buru dalam memilih pasangan hidup, Fikry berkata, dia sentiasa percaya kepada ketentuan Ilahi.

"Saya bukan tak mencari, tapi saya percaya pada kuasa jodoh. Selagi Tuhan belum izinkan, saya percaya jodoh itu tidak akan sampai.

"Setakat kenal-kenal itu adalah, tapi saya lebih fokus untuk diri sendiri dulu. Banyak perkara yang perlu saya selesaikan sebelum mengambil keputusan berkahwin. Saya nak gembirakan ahli keluarga dan diri saya dulu," katanya.

Dalam perkembangan lain, Fikry mengakui tahun ini ada beberapa projek yang bakal dijayakan.

"Antaranya saya bakal membintangi sebuah drama bersiri untuk siaran Astro dan HyppTV. Selain itu, saya juga ada beberapa tawaran mengacara program TV" katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 January 2021 @ 6:01 AM