TAPAK pembinaan surau SK Seri Peristana ,Sungai Buloh. FOTO ihsan Mohd Azmanizam Baharon
TAPAK pembinaan surau SK Seri Peristana ,Sungai Buloh. FOTO ihsan Mohd Azmanizam Baharon
Redzuan Muharam


Kuala Lumpur: "Doakan saya masuk syurga." Demikian ayat ditinggalkan seorang pemuda yang juga penyumbang dana bagi pembinaan surau di Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Peristana, Sungai Buloh, Selangor pada butiran transaksi pemindahan wang dibuatnya.

Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Seri Peristana, Mohd Azmanizam Baharon menyedarinya ketika menyemak penyata akaun bank tiga hari lalu.

Menurutnya, pemuda terbabit menyumbang sebanyak RM1,000 namun bukan jumlah itu menarik perhatiannya tetapi ayat berkenaan yang membuatkannya sebak.

"Baru-baru ini, saya ada menyemak penyata akaun bagi memeriksa jumlah sumbangan diterima.

"Kebiasaannya, penyumbang menulis perkataan infaq surau pada bahagian butiran transaksi.

"Namun lain pula bagi penyumbang itu yang menulis ayat berkenaan. Sebak rasanya kerana kali pertama melihat ada penyumbang menulis ayat sebegitu," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Mohd Azmanizam bagaimanapun beranggapan penyumbang terbabit sekadar mahukan doa daripada sumbangannya itu.

"Saya tidak tahu kisah di sebaliknya tetapi kesanggupannya menderma amat dihargai lebih-lebih lagi dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)," katanya.

Bercerita lanjut mengenai inisiatif pembinaan surau, Mohd Azmanizam berkata, PIBG dan sekolahsepakat mencari dana bagi membangunkan kemudahan itu demi keselesaan 2,300 murid dalam menunaikan solat.

"Sekolah ini sudah berusia 10 tahun namun belum ada kemudahan surau sebaliknya hanya ada ruang menggunakan empat bilik darjah.

"Ruang sedia hanya boleh memuatkan 50 murid pada satu-satu masa manakala guru terpaksa menjadikan ruang kelas belakang sebagai tempat solat kerana tidak cukup masa menunggu penggiliran solat.

"Dana diperlukan untuk membina surau ialah sebanyak RM100,000 dan kita sudah membuat hebahan menerusi laman sosial bagi mencari penyumbang bermula 8 Januari lalu.

"Alhamdulillah, kira-kira RM60,000 dana sudah terkumpul sehingga kini dan guru besar, Zaimi Idris berharap orang ramai dan syarikat korporat terus membantu bagi menjayakan projek pembinaan surau yang boleh menampung 200 murid dalam satu-satu masa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 January 2021 @ 8:00 PM