ROGELIA Blanco salah dinyatakan meninggal dunia dari coronavirus pada 13 Januari di Sepanyol dan saudara-saudaranya diberitahu bahawa dia telah dikebumikan. FOTO Agensi
ROGELIA Blanco salah dinyatakan meninggal dunia dari coronavirus pada 13 Januari di Sepanyol dan saudara-saudaranya diberitahu bahawa dia telah dikebumikan. FOTO Agensi
Agensi

Madrid: Ketukan pintu seorang warga emas yang disangka sudah meninggal dunia akibat Covid-19 mengejutkan ahli keluarga dan saudaranya apabila dia kembali semula ke rumah jagaan orang tua didiaminya.

Mirror melaporkan kemunculan wanita berusia 85 tahun itu tidak disangka berikutan seluruh ahli keluarga Rogelia Blanco sudah dimaklumkan bahawa wanita itu selamat dikebumikan.

Mereka diberitahu pihak hospital, wanita itu meninggal dunia akibat Covid-19 pada 13 Januari lalu dan dikebumikan pada keesokannya, lapor akhbar tempatan La Voz de Galicia.

Disebabkan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan, mereka semua tidak boleh menghadiri upacara pengebumian itu.

Namun, salah faham terjadi apabila kesilapan pihak hospital melakukan kesilapan pada daftar nama pesakit, sebaliknya Rogelia masih hidup dan disahkan sembuh daripada Covid-19.

Kekecohan tercetus apabila Rogelia yang sudah sihat kembali mengetuk pintu rumah jagaan warga emas di Xove, utara Sepanyol, yang juga menjadi tempat beristirahat bersama suaminya, Ramon Blanco.

Ramon dilaporkan sangat teruja melihat isterinya kembali, mujur tanpa sebarang episod kejutan melampau yang menjejaskan kesihatan dirinya.

"Sukar untuk saya percaya semua ini. Puas saya menangis atas 'kehilangan' isteri saya," ujar Ramon yang akhirnya mendapat tahu bahawa rakan sebilik Rogelia yang sebenarnya meninggal dunia.

Yayasan San Rosendo yang menguruskan rumah jagaan itu menjelaskan, salah faham itu terjadi apabila Rogelia dan seorang lagi penghuni yang disahkan positif Covid-19 dipindahkan ke pusat rawatan lain pada akhir Disember lalu.

"Dua wanita ini tinggal sebilik ketika menerima rawatan dan seorang daripadanya menghembuskan nafas terakhir.

"Namun, kesilapan proses pendaftaran sewaktu pemindahan itu yang menyebabkan pertukaran identiti," jelas wakil yayasan itu.

Yayasan itu memohon maaf dan kesal atas kesilapan itu, serta menyifatkan insiden itu suatu yang tidak pernah terjadi.

Selepas insiden itu, pihak mahkamah sudah dimaklumkan mengenai perkara itu dan pengisytiharan kematian Rogelia diperbetulkan semula.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 January 2021 @ 6:31 AM