NUR Azraliyana mengagih pek makanan tengah hari percuma kepada penghantar makanan sejak kelmarin. FOTO Ihsan Nur Azraliyana Azmi
NUR Azraliyana mengagih pek makanan tengah hari percuma kepada penghantar makanan sejak kelmarin. FOTO Ihsan Nur Azraliyana Azmi
Redzuan Muharam


Kuala Lumpur: Keinginan berkongsi rezeki mendorong perunding kecantikan, Nur Azraliyana Azmi melakukan agihan pek makanan tengah hari percuma kepada penghantar makanan sejak kelmarin.

Pek makanan itu diagihkan secara pandu lalu dan inisiatif Nur Azraliyana, 25, mendapat perhatian warganet selepas memuat naik video berkenaan di TikTok semalam.

Bercerita lanjut, Nur Azraliyana yang menetap di Taman Desa Dahlia, Seremban, Negeri Sembilan berkata, agihan itu dilakukan di hadapan pasar raya Giant Senawang dan dia tidak berseorangan sebaliknya dibantu abang, Amin Nur Rasyid, 27 dan sepupu, Anis Syaqireen Jamaluddin, 26.

"Sebenarnya, idea ini datang daripada ibu saudara saya yang terlebih dulu melakukannya di Ampang sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pertama tahun lalu.

"Saya cuba gunakan konsep yang sama dengan mengumpul dana daripada keluarga dan rakan sekerja.

"Alhamdulillah, inisiatif itu mendapat sokongan dan setakat semalam, 200 pek makanan sudah diagihkan kepada penghantar makanan di kawasan terbabit.

"Untuk hari pertama, kita agihkan 100 pek bihun goreng manakala 100 pek nasi bajet diagihkan semalam," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Menurut Nur Azraliyana, aktiviti agihan pek makanan akan diteruskan esok di Dataran Centrio, Seremban 2 pada waktu yang sama.

Meskipun tiada pengalaman menjalankan aktiviti sebegitu, Nur Azraliyana bersyukur kerana semuanya berjalan lancar.

"Ini kali pertama saya menjalankan inisiatif berkenaan dan tiada halangan daripada pihak berkuasa kerana kita sekadar mengagihkan makanan serta tidak berkumpul.

"Gembira dan berasa lapang dada setiap kali selesai melakukan agihan dan selain penerima (penghantar makanan), kita turut membantu peniaga kecil-kecilan dengan mengupah mereka menyediakan pek makanan untuk diagihkan hasil dana diperoleh.

"Saya tidak tetapkan sasaran bila inisiatif ini berakhir kerana akan teruskannya selagi dana mencukupi dan terima kasih kepada semua yang menyokong usaha menjayakannya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 January 2021 @ 9:45 PM