Jurulatih kelahiran Chile, Elissetche Correa Simon Pablo. FOTO BERNAMA
Jurulatih kelahiran Chile, Elissetche Correa Simon Pablo. FOTO BERNAMA
Oleh Firdaus Hashim


Petaling Jaya: Tirai Liga Malaysia (Liga M) musim ini nampaknya bakal disingkap dengan kes 'panas' apabila pasukan Kuala Lumpur United (KL United) yang bersaing di Liga Super akan diheret ke Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (Fifa) dan mahkamah sivil dengan nilai tuntutan keseluruhan RM3.5 juta.

Tindakan itu akan diambil oleh 'jurulatih tak jadi' dari Chile, Simon Elissetche yang mendakwa dirinya diperlakukan dengan cara tidak adil dan tidak bertanggungjawab.

Jelas peguam yang mewakili bekas jurulatih Timor Leste itu, Zhafri Aminurashid, tuntutan itu perlu bagi membersihkan nama anak guamnya yang dikatakan tidak memenuhi syarat memiliki Sijil Kejurulatihan Diploma AFC (Konfederasi Bolasepak Asia) Pro, sekali gus punca mengapa ia dipecat.

Bagaimanapun, Zhafri menafikan kenyataan KL United itu yang disifatkan fitnah di samping tindakan penamatan kontrak dilakukan sebelah pihak yang jelas melanggar lampiran 8 Fifa RSTP.

"Kita akan ada dua tindakan yang diambil, pertama iaitu tentang artikel fitnah yang dikeluarkan oleh pihak KL United dan kedua, adalah berkaitan kes Fifa kerana bagi saya ini kes yang jelas bahawa terdapatnya pelanggaran kontrak kerana Elissetche sudah pun menandatangani kontrak sebelum datang ke Malaysia.

"Tetapi atas sebab yang hanya diketahui mereka (KL United), mereka tidak meneruskan khidmat Elissetche," katanya pada sidang media yang berlangsung di sini, semalam.

Sebelum ini, Elissetche ditawarkan kontrak selama enam bulan bagi mengendalikan KL United musim ini selepas pasukan itu layak ke Liga Super selepas menamatkan saingan Liga Perdana di tangga ketiga musim lalu di belakang Pulau Pinang dan TFC II.

Jurulatih berusia 44 tahun itu bersetuju dan menandatangani kontrak penuh dengan menghantar menggunakan email pada 18 November lalu.

Dia kemudiannya tiba di ibu negara pada 22 Disember lalu bersama keluarga dengan segala perbelanjaan termasuk kos kuarintin wajib Covid-19 ditanggung sendiri oleh pengendali itu.

Begitupun pada 8 Januari lalu, KL United memutuskan untuk tidak meneruskan khidmatnya ekoran tidak memenuhi syarat AFC dengan skuad Warga Kota itu melantik pula Bojan Hodak.

Namun tiga hari kemudian, AFC dan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) pengesahan lesen Elissetche itu sah dan boleh digunakan dalam saingan Liga M.

Sementara itu, Elissetche mengakui kecewa dan berharap isu ini tidak berlaku lagi di masa hadapan.

"Saya berharap kejadian ini tidak akan lagi terjadi lagi kepada jurulatih lain di Malaysia," kata pengendali yang fasih berbahasa Indonesia itu.

Dalam pada itu, Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA) hairan mengapa Elissetche 'menyerang' KL United sedangkan tawaran menjadi jurulatih adalah dari KLFA.

Setiausaha Agung KLFA, Nokman Mustaffa berkata, sepatutnya Elissetche datang berjumpa pihaknya sebelum bertindak menyaman KL United.

Katanya, tindakan bekas jurulatih kebangsaan Timor Leste yang bertindak membuat tuntutan di mahkamah sivil dan ke Fifa berjumlah RM3.5 juta kepada pasukan KL United boleh diselesaikan cara baik dengan datang berjumpanya.

"Kalau kata dia ada perjanjian, maka perjanjian itu dengan KLFA dan bukan KL United sebab KL United sudah pun diswastakan. Kita pun tidak pernah cakap yang dia ditolak. Tiada masalah pun kalau kita ambil dia sebagai pengarah teknikal ataupun jurulatih skuad muda.

"Tetapi dia kena datang berbincanglah dengan kita. Sepatutnya kalau dia ada masalah, dia hubungi kita dahulu dan itulah yang sebetulnya kerana kontrak itu daripada KLFA dan bukan KL United," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 January 2021 @ 7:30 AM