Raja Noraina Raja Rahim


Shah Alam: Usahawan kosmetik, Nur Sajat dikenakan waran tangkap selepas gagal hadir sebutan semula pertuduhan berpakaian wanita di Mahkamah Tinggi Syariah di sini, hari ini.

Menurut sumber, waran tangkap itu dikeluarkan Hakim Syarie Mohammad Khalid [email protected] terhadap Sajat atau nama sebenarnya Muhammad Sajjad Kamaruzzaman, 36.

"Dia (Sajat) dimaklumkan tidak datang dan hakim mengeluarkan waran tangkap," katanya.

Sementara itu, peguam syarie yang mewakili Sajat, Zuri Zabuddin Budiman berkata, anak guamnya tidak menghadiri sebutan semula yang sudah ditetapkan oleh mahkamah sebelum ini.

"Saya tunggu juga, tapi dia tak datang.

"Mahkamah tangguh sebutan semula kes pada 1 Jun depan," katanya ketika ditemui pemberita sebaik selesai kes berkenaan di sini, hari ini.

Selain Zuri, Sajat turut diwakili peguam syarie Ahmad Nazib Johari, Noor Azlina Che Hassan dan Amirah Zainal.

Pada 6 Januari lalu, Sajat mengaku tidak bersalah atas pertuduhan itu yang dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Syarie Mohamad Khalid SHaee @ Shaii.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu dalam majlis bacaan Yasin dan solat hajat, pada 7.30 malam, 23 Februari 2018 di premis kecantikannya, Nursajat Beauticion, Jalan Serai Wangi G16/G, Seksyen 16, Shah Alam.

Bagi perbuatan itu tertuduh didakwa mengikut Seksyen 10(a) Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 1995 yang memperuntukkan hukuman tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Syarie Selangor Atras Mohd Zain.

Mahkamah membenarkan ikat jamin RM3,000.

SAJAT. FOTO Arkib NSTP
SAJAT. FOTO Arkib NSTP

Berita berkaitan

'Saya tunggu tapi dia tak datang' - Peguam Sajat

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Februari 2021 @ 11:22 AM