Pasukan polis melakukan siasatan di lokasi kejadian. FOTO Zuliaty Zulkiffli
Pasukan polis melakukan siasatan di lokasi kejadian. FOTO Zuliaty Zulkiffli
Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: Lelaki warga emas yang juga bisu ditemukan maut dipercayai dibunuh kejam dengan kesan kecederaan di lehernya, hari ini.

Mangsa berusia 70-an itu dipercayai dibunuh di tempat lain sebelum mayatnya dicampak atau ditinggalkan di hadapan Sekolah Kebangsaan (SK) Suka Menanti, di sini.

Malah, pihak berkuasa percaya mangsa dibawa menaiki kereta oleh seorang lelaki berusia 30-an sebelum mayatnya ditinggalkan di hadapan sekolah berkenaan kerana motosikal mangsa ditemukan di tempat lain.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, pihaknya menerima maklumat pada 4.30 petang berkaitan pergaduhan di kawasan Lebuhraya Sultan Abdul Halim, di sini.

Beliau berkata, bagaimanapun tidak lama kemudian pihaknya menerima maklumat penemuan satu mayat lelaki yang disyaki ada kaitan dengan pergaduhan itu.

"Mayat lelaki itu ditemukan dengan kesan kecederaan teruk di leher. Hasil siasatan mendapati, mangsa dibawa menaiki kereta Proton Saga oleh suspek lelaki berusia 30-an dan motosikal mangsa dipercayai ditinggalkan di kawasan pergaduhan di Lebuhraya Sultan Abdul Halim," katanya ketika ditemui di lokasi hari ini.

Ahmad Shukri berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan sama ada mangsa diculik atau sebaliknya.

Menurutnya, sejurus meninggalkan mayat di kawasan sekolah, suspek melanggar sebuah motosikal yang ditunggang seorang lagi lelaki di kawasan Taman Wira Mergong menyebabkan mangsa mengalami kecederaan.

"Suspek ditahan orang awam di kawasan itu dan menyerahkannya kepada polis untuk tindakan lanjut.

"Hasil pemeriksaan mendapati, suspek didapati berada dalam keadaan khayal. Dia juga dipercayai terbabit dalam pergaduhan petang tadi dan individu yang bertanggungjawab meninggalkan mayat lelaki warga emas itu di sini (hadapan sekolah)," katanya.

Ahmad Shukri berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan sama ada suspek dan mangsa yang dibunuh ada hubung kait sebelum ini.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan siasatan juga mendapati, suspek mempunyai dua rekod lampau berkaitan.

"Mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk tindakan lanjut," katanya memaklumkan, turut merampas sebilah parang yang ditemukan dalam kereta suspek bagi membantu siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Februari 2021 @ 10:51 PM