IZZUE sudah terbiasa dengan amalan berjimat-cermat sejak awal pembabitan dalam industri.
IZZUE sudah terbiasa dengan amalan berjimat-cermat sejak awal pembabitan dalam industri.
Norhayati Nordin


KEMUNCULAN bakat baharu dalam pelbagai cabang seni adalah perkara biasa. Ia umpama jika tiada yang lama, masakan ada yang baharu.

Perjalanan kehidupan penggiat seni juga ibarat roda. Tidak selamanya berada di atas dan begitu sebaliknya. Semuanya bergantung kepada rezeki dan tuah selain bakat untuk menempa nama serta populariti.

Bagi pelakon, penyanyi dan pengacara, Izzue Islam, 31, dia memilih sentiasa mempersiapkan diri.

Hampir 12 tahun membina nama dan 'menjual' bakat, Izzue sangat selesa jika selalu bersedia.

"Dari awal pembabitan dalam industri seni bermula 2009, saya suka mencuba dan mencari peluang. Saya berusaha selagi mampu untuk mengejar apa yang diimpikan.

"Kini, semakin lama berada dalam bidang kerjaya ini saya sangat mengerti terhadap satu perkara iaitu tidak selamanya kita akan kekal berada di atas kerana sampai masa pasti ke bawah juga.

"Jadi, umpama 'hukum alam' dalam kehidupan saya sebenarnya memang melekatkan di fikiran untuk sentiasa bersedia menghadapi sebarang kemungkinan. Ia penting supaya saya tidak berasa terlalu sedih jika sudah jatuh. Malah, apabila detik itu tiba sekurang-kurangnya saya tidak mengalami kejutan yang teruk kerana sudah persiapkan diri lebih awal," katanya.

Menurut anak jati Kelantan ini, dia gemar memandang positif pada semua perkara.

Katanya, dalam kehidupan ini segala berkemungkinan berlaku. Jadi, jangan sesekali terlupa atau terlepas pandang mengenainya.

"Tengoklah situasi krisis pandemik Covid-19 yang berlaku sekarang ini, kita semua tak pernah sangka. Namun, apabila keadaan ini melanda banyak perubahan berlaku secara tiba-tiba dan kini kita perlu sesuaikan diri.

IZZUE akui sudah mempersiapkan diri lebih awal agar tidak alami kejutan.
IZZUE akui sudah mempersiapkan diri lebih awal agar tidak alami kejutan.

"Apapun, saya bersyukur dengan kehidupan bersama isteri, Awin Nurin yang dijalani sekarang. Alhamdulillah, rezeki kami masih cukup dan tidak terlalu berasa terkesan sangat.

"Mungkin juga kami sudah terbiasa berjimat-cermat dalam berbelanja. Sejak dulu, kami suka berbelanja apa yang perlu dan utamakan tabungan atau simpanan setiap masa.

"Sebagai penggiat seni, lagilah penting untuk saya beringat dan berhemah dalam berbelanja. Dalam kerjaya ini (seni) pendapatan bergantung pada kerja dan ia tidak menentu, jadi untuk itu memang kena berjimat selalu," katanya.

Menurut Izzue, amalan gaya hidup sangat memainkan peranan untuk seseorang itu bijak mengurus perbelanjaan.

Justeru, katanya dia sangat selesa memilih kesederhanaan dalam kehidupan dan tidak berlebih-lebihan.

Izzue yang pernah menganggotai kumpulan Forteen berkahwin dengan Awin pada 2 Jun 2013. Hampir lapan tahun berumah tangga, pasangan ini belum dikurniakan cahaya mata.

Namun, mereka menganggap rezekinya belum tiba dan Izzue menyerahkan pada ketentuan Allah. Paling penting kehidupan rumah tangga mereka bahagia.

PILIH sederhana, amalan gaya hidup Izzue dan isteri.
PILIH sederhana, amalan gaya hidup Izzue dan isteri.

Tak fikir 'standard'

Walaupun bakat lakonannya sudah dibuktikan, namun Izzue atau nama sebenarnya Muhammad Izzul Islam Mazlan tidak meletak sasaran untuk terus beraksi sebagai watak utama.

Katanya, hingga kini dia akan menerima apa sahaja watak yang dilihat sesuai serta diyakini mampu membawa impak dalam persembahan lakonannya.

Menurut Izzue, dia tidak pernah fikir mengenai 'standard'.

"Selama ini, saya tak pernah fikir akan jatuh 'standard' apabila berlakon watak pembantu atau watak yang kecil dalam setiap drama. Ini kerana sejak dulu, saya sudah letakkan pada diri bahawa dalam industri ini akan ada naik turunnya.

"Jadi, sama ada berlakon watak utama atau pembantu bukan persoalannya. Bagi saya, kalau asyik berlakon jadi hero pun, bosan juga. Saya seorang yang suka mempelbagaikan watak.

"Contohnya, dalam drama Tercipta Satu Ikatan yang dibintangi baru-baru ini, watak saya sebagai pembantu sahaja. Tapi, watak itu sangat menarik dan benar -benar mencabar hingga saya sukar melepaskan. Alhamdulillah, maklum balas penonton pun sangat baik," katanya.

Menurut Izzue lagi, dia juga tidak berasa tercabar dengan kehadiran ramai bakat baharu yang mewarnai industri hiburan ketika ini.

Katanya, kebanyakan mereka (penggiat baharu) pun ramai yang berbakat dan ada potensi menjadi pelakon terbaik suatu hari nanti.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Februari 2021 @ 6:00 AM