ANGGOTA DBKL menyita dan merampas barangan di dalam premis yang menjalankan kegiatan maksiat.
ANGGOTA DBKL menyita dan merampas barangan di dalam premis yang menjalankan kegiatan maksiat.
ANTARA wanita tukang urut warga asing yang menawarkan khidmat seks ditahan dalam operasi DBKL.
ANTARA wanita tukang urut warga asing yang menawarkan khidmat seks ditahan dalam operasi DBKL.
Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin


Kuala Lumpur: Bijak 'main wayang' kononnya premis dibuka hanya menawarkan khidmat salun dan rawatan kecantikan kepada orang ramai.

Bagaimanapun hasil risikan dilakukan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mendapati premis terletak di Jalan Metro Perdana, Kepong di sini, sebaliknya menawarkan khidmat kumpulan pelacur warga asing.

Kegiatan itu dibongkar selepas DBKL menerusi Jabatan Penguatkuasaan menyerbu premis berkenaan malam kelmarin.

Jurucakap DBKL berkata, risikan dilakukan pihaknya sejak tujuh hari lalu sebelum mendapati premis itu berselindung sebagai pusat kecantikan untuk menjalankan aktiviti tidak bermoral.

Menurutnya, semakan mendapati premis berkenaan tidak mempunyai lesen perniagaan pusat kecantikan dan beroperasi secara haram.

"Hasil serbuan dilakukan, kami menemui tiga wanita tukang urut warga Vietnam yang disyaki menawarkan khidmat seks.

"Turut ditahan seorang pelanggan warga Bangladesh dan seorang lelaki tempatan bertindak sebagai penjaga premis," katanya.

RUANG dalaman premis menawarkan khidmat maksiat di Jalan Metro Perdana, Kepong yang diserbu DBKL, malam kelmarin.
RUANG dalaman premis menawarkan khidmat maksiat di Jalan Metro Perdana, Kepong yang diserbu DBKL, malam kelmarin.

Menurutnya, pemeriksaan menemui bilik-bilik kecil di dalam premis itu yang dibina menggunakan kayu lapis,

"Setiap bilik berkenaan dilengkapi katil bujang dipercayai bagi tujuan melayan pelanggan. Susulan itu anggota DBKL bertindak memecahkan binaan haram itu dalam operasi berkenaan.

"Turut dirampas perakam kamera litar tertutup (CCTV), monitor, peralatan untuk tujuan seks dan pelbagai barangan lain," katanya.

Katanya, satu notis kompaun dikeluarkan mengikut Undang-Undang Kecil (UUK) Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian (WPKL) 2016 sementara penutupan premis dilakukan mengikut Seksyen 101(1)(v) Akta Kerajaan Tempatan 1976.

Jumaat lalu, DBKL turut menyerbu premis rumah urut di Laman Rimbunan Kepong, di sini.

Sehingga kini, lebih 20 pusat urut dan maksiat digempur pihak DBKL dalam usaha menghapuskan kegiatan maksiat di ibu kota selain memastikan pemilik premis beroperasi dengan mematuhi syarat lesen ditetapkan.

RUANG dalaman premis menawarkan khidmat maksiat di Jalan Metro Perdana, Kepong yang diserbu DBKL, malam kelmarin.
RUANG dalaman premis menawarkan khidmat maksiat di Jalan Metro Perdana, Kepong yang diserbu DBKL, malam kelmarin.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Februari 2021 @ 8:00 AM