Lizam Ridzuan


Selepas dilancarkan pada Jun lalu, Hyundai Elantra serba baru menerima sambutan memberangsangkan terutama dengan tiga varian ditawarkan serta pilihan enjin 2.0 dan 1.6 turbo.

Edisi kali ini menampilkan varian 2.0 MPI Executive, 2.0 MPI Dynamic dan Elantra Sport membarisi model generasi keenam yang diberi sentuhan baru termasuk rekaan, teknologi dan sistem keselamatan setaraf dengan kenderaan jenama dari Eropah.

Bagi memberi gambaran lebih jelas, satu sesi pandu uji bersama media dianjurkan Hyundai Sime Darby Motors Sdn Bhd (HSDM) sebagai pengedar utama kenderaan jenama dari Korea Selatan itu.

Bermula di Shah Alam menuju ke Melaka, lapan kereta disediakan untuk setiap varian bagi kegunaan media dan penulis bersama rakan dari Berita Harian dan New Straits Times berada dalam satu kereta.

Majlis pelepasan dilakukan Pengarah Urusan HSDM, Lau Yit Mun dan kami memulakan pemanduan dengan varian 2.0 MPI Dynamic yang membezakan ia dengan varian Executive ialah pada rekaan bampar depan dan belakang, skirt sisi serta lampu nyalaan siang (DRL).

Enjin 1,999cc MPi serta transmisi enam kelajuan automatik menawarkan pemanduan selesa serta lancar bagi kenderaan dalam segmen C ini.

Ia menghasilkan kuasa 152Ps pada 6,200rpm dan tork 192Nm pada 4,000rpm lancar dan selesa di jalan raya atau memecut di lebuh raya.

Ruang dalaman untuk varian 2.0 dengan material yang bermutu serta kerusi kulit lembut dan selesa termasuk jarak kaki yang luas untuk penumpang.

Untuk pemanduan pulang dari Melaka ke Kuala Lumpur kami berpeluang memandu uji Elantra Sport yang dikuasakan dengan enjin 1.6 liter turbo menakjubkan termasuk transmisi tujuh kelajuan DCT.

Model 1.6 Sport pula menawarkan pemanduan berprestasi dengan kuasa dan tenaga berterusan dengan pilihan tiga mod normal, sports dan eco menjadikan model ini sesuai buat mereka yang gemarkan kenderaan sporty.

Ruang dalaman juga tampil berbeza dengan sentuhan warna merah pada bahagian tempat duduk kulit dan bahagian suspensi belakang daripada Multi-link berbanding model 2.0 dengan Tubular Beam.

Kerangka daripada besi berketahanan tinggi untuk ciri keselamatan tertinggi serta dibekalkan dengan enam beg udara, bantu parkir depan dan belakang, dan pelbagai ciri keselamatan lain tersedia untuk ketiga-tiga varian.

Harga jualan Hyundal Elantra ialah RM116,388 untuk 2.0 Executive, RM120,588 (2.0 Dynamic) dan RM131,488 (1.6 Sport) yang mendapat pengiktirafan kenderaan cekap tenaga EEV.

Tujuh warna ditawarkan iaitu Putih Polar, Hitam Phantom, Kelabu Iron, Perak Platinum, Biru Marina, Yellow Blazing dan Merah Fiery dengan lima tahun waranti atau 300,000 kilometer yang mana lebih dahulu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Julai 2017 @ 12:53 AM
ELANTRA baru dengan dua pilihan enjin 2.0 dan 1.6 turbo.