GAYA retro moden.
GAYA retro moden.
SENTUHAN cafe racer pada penutup tempat duduk pembonceng.
LAMPU belakang jelas gaya klasik.
PAPARAN meter ringkas.
SATU-satunya pelekat Modenas pada model V15.
LOGO INS Vikrant pada penutup tangki.
SUSPENSI belakang dengan gas Nitrox.
ENJIN 149.5cc dengan dua palam pencucuh serta logo Bajaj.
Lizam Ridzuan
lizamridzuan@hmetro.com.my


Sebaik mendapat slot tunggang uji, penulis tidak berlengah mengambil motosikal Modenas V15 di Glenmarie, Shah Alam untuk mengetahui apakah keistimewaan jentera dua roda street gaya retro ini.

Dilancarkan di Malaysia, Mei tahun ini hasil kerjasama strategik antara Modenas dan Bajaj Auto Ltd (BAL), pengeluar motosikal terbesar di India.

Serba sedikit sejarah yang boleh dikongsikan mengenai keunikan motosikal ini ialah huruf ‘V’ itu berasal daripada kapal perang tentera India INS Vikrant yang berkhidmat ketika Perang Dunia kedua.

Material kapal perang yang dilupuskan itu digunakan untuk membuat motosikal ini memberi sentuhan patriotik kepada rakyat India malah selebriti Bollywood seperti Aamir Khan turut memiliki sebuah motosikal ini dan menganggapnya sebagai karya ‘masterpiece’.

Berbalik kepada sesi tunggang uji, sebaik memulakan perjalanan penulis dapat merasakan ia ringan dan mudah dikawal namun perlu menyesuaikan diri dengan kedudukan gear lima kelajuan terbalik dengan kedudukan menaik perlu dicungkil atau ditekan ke belakang.

Dikuasakan dengan enjin 149.5cc DTS-i sejukan angin dan palam pencucuh berkembar menawarkan tenaga yang responsif walaupun kelajuan mendatar selepas itu yang mampu mencapai 100 kilometer (km) sejam.

Ketika menunggangnya, ia mampu menghasilkan kuasa kuda 12PS pada 7,500rpm dan daya tujahan sehingga 13Nm pada 5,500rpm, Modenas V15 ini direka untuk kesesuaian pelbagai urusan aktiviti harian anda.

Terutama membabitkan perjalanan jarak dekat ketika meloloskan diri dalam kesesakan bandar, V15 sebuah model yang tangkas di laluan motosikal dengan kelebaran 780 milimeter (mm) dan lancar pada pelbagai kelajuan rendah atau tinggi.

Ia menawarkan keseronokan menunggang dengan tenaga berterusan dan enjin sentiasa menghasilkan kuasa untuk anda memerahnya ke tahap maksimum.

Posisi menunggang ternyata santai dengan pemegang yang tinggi dan lebar serta kedudukan pelana dan tangki yang ergonomik menjadikan perjalanan anda lebih mudah dan selesa untuk dikendalikan.

Melihat kepada reka bentuknya, V15 adalah gabungan sebuah street serta diletakkan di dalam segmen ‘Cafe racer’ sesuai buat mereka yang mahukan sebuah motosikal yang boleh dilakukan untuk tujuan binaan khas atau modifikasi dengan casis daripada ‘double-cradle’ untuk kelasakan.

Pelindung tempat duduk pembonceng boleh dipasang atau ditanggalkan untuk imej yang lebih ranggi serta sporty manakala roda hadapan lima jejari bersaiz 18 inci dan 16 inci di belakang lebih lebar dengan tayar tanpa tiub untuk kestabilan dan tahan lebih lama.

Ketinggian pelana 780mm sesuai untuk mereka yang bersaiz sederhana dan tinggi selain bagi memudahkan untuk tujuan parkir, motosikal ini disediakan tongkat pada tepi dan tengah untuk kedudukan lebih stabil.

Lampu hadapan dengan perumah reka bentuk unik menghasilkan tenaga 55W untuk pancaran rendah dan 60W untuk tinggi cukup jelas pada malam hari serta lampu LED belakang gaya klasik jelas pada cuaca yang pelbagai.

Meter kelajuan analog dan odometer ringkas dengan ciri LED untuk kedudukan bahan api pula mampu memuatkan sehingga 13 liter malah tambah menarik jika ada paparan maklumat tambahan lain.

Suspensi hadapan teleskopik dan belakang berkembar dengan gas Nitrox menyerap tekanan dan permukaan jalan dengan baik serta melayan selekoh lebih stabil dan kekal pada laluan.

Jarak minimum dari permukaan jalan setinggi 165mm menjadikan ia sesuai untuk dibawa ke jalan tidak rata atau berair terutama jika berlaku banjir kilat yang memberi kelebihan pada saiznya berbanding sebuah moped.

Brek hadapan cakera 240mm dan gelendong 130mm pada belakang berfungsi dengan baik untuk memberhentikan motosikal seberat 136 kilogram (kg) ini.

Secara keseluruhan, penulis berpendapat Modenas V15 ialah sebuah motosikal yang menawarkan keselesaan, responsif, penggunaan bahan api efisien dan lasak yang dibina berdasarkan keadaan muka bumi serta cuaca di India.

Reka bentuk gaya retro dan klasik menjadikannya sebuah model street yang menarik termasuk boleh dijadikan sebuah cafe racer dengan penutup bahagian tempat duduk penumpang sebagai satu opsyen bagi lebih bergaya.

Dipasang secara tempatan di kilang di Gurun, Kedah, Modenas V15 dijual pada harga asas RM5,989 (termasuk GST) dengan dua warna ditawarkan iaitu hitam dan putih serta waranti pengeluar selama dua tahun atau 20,000km yang mana lebih dahulu.

INFO

MODENAS V15

• Enjin: 150cc DTS-i, empat lejang silinder tunggal dengan 2 injap palam pencucuh berkembar

• Kuasa maksimum: 12PS pada 7,500rpm

• Tork maksimum: 13Nm pada 5,500rpm

• Transmisi: Klac lima kelajuan

• Kapasiti bahan api: 13 liter.

• Ciri keselamatan: Brek cakera hadapan 240mm.

• Harga: RM5,989 (asas termasuk GST)

* Paparan ini boleh disaksi dalam segmen Vroom Berita TV9 hari ini, jam 12 tengah hari dan 8 malam.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Ogos 2017 @ 1:12 AM