MINI Countryman dan Clubman diberi sentuhan John Cooper Works.
HM Digital

Diinspirasikan daripada model Mini klasik yang menjuarai perlumbaan Rali Monte Carlo pada 1964 dan 1965 oleh John Cooper, ia adalah model paling berkuasa dihasilkan dan kemudian ditawarkan ciri DNA yang sama untuk pembeli melalui talaan John Cooper Works.

Bersempena ulang tahun ke-94 pelumba rali itu, Mini Malaysia menganjurkan acara Mini Track Days 2017 bagi memperkenalkan varian Mini John Cooper Works Clubman dan Countryman untuk pasaran tempatan.

Ketua Mini Malaysia, Kidd Yam berkata, edisi talaan itu tampil berbeza dengan Clubman baru bersaiz besar dan fleksibel diberi sentuhan prestasi manakala untuk Countryman dibina untuk mereka yang gemarkan cabaran serta sesuai untuk laluan biasa atau off-road.

“Bukan sekadar prestasi, malah ia dilengkapi ciri luaran dan dalaman tersendiri daripada penghasilan John Cooper Works, sistem bunyi dan fungsi serta peralatan baru dengan paparan skrin sentuh 8.8 inci,” katanya pada majlis pelancarannya, baru-baru ini.

Setiap model sentuhan John Cooper Works dilengkapi gaya premium seperti kit badan aerodinamik, rim 19 inci, gril hadapan, bumbung dan perumah cermin sisi merah, pelekat badan, spoiler belakang, paip ekzos dengan ‘side scuttles’ serta sil pintu yang eksklusif.

Ruang dalaman dengan ciri sukan permotoran seperti tempat duduk kemasan kulit Dinamica hitam dan jalur merah, roda stereng dan pedal besi tahan karat, kokpit dan instrumen gaya terkini dengan iluminasi daripada warna hitam untuk Countryman dan Clubman pula dengan gentian aloi.

Paling menarik ialah kuasa enjin 2.0 liter dengan Teknologi Mini TwinPower Turbo mampu menghasilkan kuasa sehingga 231hp dan tork 350Nm menawarkan keseimbangan antara kuasa dan bahan api yang sempurna.

Pemanduan yang memberi pengalaman seperti memandu go-kart ini dipadankan dengan gear automatik lapan kelajuan Steptronic Sports dan untuk talaan bersifat individu termasuk tiga mod pemanduan ditawarkan iaitu Sport, Mid dan Green.

Sistem brek direka hasil kerjasama dengan pakar pengeluar brek Brembo, angkup brek cakera empat omboh itu memberikan prestasi yang konsisten meskipun terdedah dengan tekanan melampau di trek perlumbaan.

Sistem pacuan semua roda All4 sebagai ciri standard untuk model Clubman dan Countryman dengan agihan tork antara roda hadapan dan belakang dikawal secara elektronik untuk lebih responsif dan kestabilan pemanduan dalam apa jua cuaca dan permukaan jalan.

Harga jualan Mini John Cooper Works Clubman ialah RM328,888 dan Mini John Cooper Works Countryman pada RM348,888 (harga atas jalan tanpa insurans) dengan empat tahun waranti tanpa had perbatuan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Ogos 2017 @ 4:01 AM