GENERASI C24 model paling popular pada pagi itu.
MODEL generasi pertama C23 masih dijaga rapi.
ANTARA pemilik generasi terkini Nissan Serena S-Hybrid yang menyertai acara ini.
ACARA ‘gathering’ pemilik Nissan Serena dengan tema bulan kemerdekaan.
Lizam Ridzuan
lizamridzuan@hmetro.com.my

Nissan Serena yang mula diperkenalkan di negara ini sekitar 1996 adalah kenderaan pelbagai guna (MPV) yang menawarkan rekaan menarik serta ruang dalaman fleksibel untuk tujuh penumpang.

Sehingga hari ini, ia mempunyai lima generasi terdiri daripada model kod C23, C24, C25 (tiada dalam pasaran Malaysia), C26 (terkini di Malaysia) dan C27 (paling baru di Jepun).

Bagi mengumpulkan semua pemilik daripada generasi awal sehingga yang terbaru, aktiviti ‘Nissan Serena Gathering’ anjuran Kelab Pemilik Nissan Serena Malaysia (NSOCM) diadakan di Putrajaya, baru-baru ini.

Pekarangan Monumen Alaf Baru dipenuhi lebih 60 Nissan Serena dari serata negara yang tiba seawal jam 10 pagi de­ngan pelbagai model dan warna serta bersempena tema sambutan bulan kemerdekaan acara dimulakan dengan agihan dan pemasangan bendera Malaysia pada setiap kenderaan dilakukan.

Sementara menunggu ketibaan rakan-rakan pemilik lain, jamuan ringan disediakan penganjur selain sesi ramah mesra terutama buat yang kali pertama bersua muka dengan kehadiran lebih 100 orang termasuk ahli keluarga.

Kenderaan kemudian bergerak secara konvoi dalam keadaan tersusun menuju ke kawasan luar bangunan Perdana Putra untuk sesi bergambar bersama kenderaan masing-masing sebagai kenangan aktiviti 2017.

Setiausaha NSOCM, Mohd Ridzuan Manan berkata, acara itu dilakukan secara santai dengan penyertaan pemilik Nissan Serena dan ahli keluarga mereka serta terbuka kepada semua yang memiliki kenderaan MPV itu tanpa mengira kod model atau tahun pembuatan.

“Selain pendaftaran ahli baru, diadakan juga sesi perkongsian maklumat teknikal Nissan Serena dan acara tahun ini tambah menarik dengan kehadiran mekanik dari Indonesia yang juga pemilik model ini untuk berkongsi ilmu dengan ahli dan rakan-rakan di Malaysia,” katanya.

Hebahan mengenai aktiviti ini yang dikongsi menerusi laman sosial Facebook serta grup aplikasi WhtsApp mendapat maklum balas dan sambutan menggalakkan. Kini mereka merancang untuk acara hari keluarga yang dijadualkan pada cuti persekolahan hujung tahun .

Untuk maklumat perkembangan terkini kelab, pengetahuan teknikal, alat ganti dan aksesori model Nissan Serena, sila lakukan carian Facebook laman SERENA MALAYSIA (nsocm).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Ogos 2017 @ 12:01 AM