HONDA CRF250L tampak bergaya.
LAMPU hadapan HONDA CRF250L lebih jelas.
HONDA CRF250 Rally sesuai untuk kegunaan harian dan lasak.
HONDA CRF250 Rally sesuai untuk penunggang yang mementingkan gaya.
BAHAGIAN hadapan HONDA CRF250 Rally yang sporty.
HONDA CRF250 Rally lebih ranggi.
Mohd Razlan Salleh
mrazlan@hmetro.com.my


Selepas menerima sambutan hangat di seluruh dunia, Boon Siew Honda Sdn Bhd (BSH) memperkenalkan jentera lasak CRF250L dan CRF250 Rally 2017 serba baru bagi memenuhi kehendak penggemar motosikal pengembaraan ringan.

Model berkenaan sesuai untuk mereka yang inginkan keseronokan tunggangan di jalan raya atau laluan lasak selain praktikal untuk kegunaan harian.

Bagi model CRF250L, motosikal berkenaan sememangnya direka untuk meluncur di jalan berturap atau laluan tanah.

Dengan gaya menyamai CRF250R, Honda CRF250L adalah motosikal serba boleh dan dibina bersama fungsi pelbagai guna.

Model ini dikuasai enjin DOHC silinder tunggal penyejuk cecair 249cc yang mematuhi standard Euro4. Kuasa maksimum 18.2kW disampaikan pada 8,500rpm dengan tork puncak 22.6Nm pada 6,750rpm.

Aci pengimbang utama meningkatkan keupayaan pengurangan getaran dan kotak gear enam kelajuan serta klac dihasilkan untuk menahan tekanan tambahan ketika menunggang secara off-road.

Tangki minyak 7.8 liter menyediakan jarak perjalanan melebihi 250 kilometer (km). Rangka CRF250L dibina daripada keluli dengan spar bahagian bujur berkembar dan endul separa berganda.

Model ini dilengkapi sistem brek anti-kekunci (ABS) sebagai ciri standard dengan pilihan menyahaktifkan ABS brek belakang. CRF250L turut menampilkan warna merah dengan serlahan hitam dan putih diinspirasikan daripada jentera HRC.

Sementara itu, model CRF250 Rally adalah motosikal dwi tujuan 250cc yang mampu memberi pengalaman pengembaraan kepada penunggang.

Ia menggunakan model CRF250L sebagai asas dengan pelbagai perubahan yang menjadikannya unik.

Antaranya bahagian depan, paparan, fairing dan penutup radiator menyediakan perlindungan terhadap angin dengan bahagian lain pada jentera memaparkan gaya MX minimum.

Lampu hadapan pula bersaiz kompak dengan dwi-LED asimetrik manakala lampu belakang dan lampu isyarat juga LED. Prestasi enjin DOHC lejang tunggal sejukan cecair 250cc menawarkan kuasa maksimum 18.2kW pada 8,500rpm dengan tork 22.6Nm pada 6,750rpm. Tangki bahan api 10.1 liter membolehkan perjalanan sehingga melebihi 320km.

Seberat 157 kilogram (kg), model ini turut didatangkan dengan brek ABS bagi kedua-dua roda. CRF250 Rally turut didatangkan dengan warna merah dengan serlahan hitam dan putih.

Honda CRF250L ditawarkan pada harga RM24,378.94 manakala CRF250 Rally berharga RM28,618.94, kedua-duanya termasuk GST tanpa cukai jalan, insurans dan pendaftaran. Model ini didatangkan dengan jaminan pengilang selama dua tahun atau jarak perbatuan 20,000km, yang mana terdahulu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 September 2017 @ 12:00 AM