POSISI selesa untuk kelajuan.
TAMPIL maskulin dan agresif.
LAMPU hadapan LED penuh berbentuk bujur.
KERANGKA trelis teguh dengan enjin 798cc.
PUNAT larasan sistem pada tempat pemegang.
BREK cakera hadapan ABS dengan angkup Brembo.
CORONG ekzos direka dan dipadankan dengan rekaan keseluruhan.
REKAAN aerodinamik dan unik.
METER digital sepenuhnya papar pelbagai fungsi.
Lizam Ridzuan
lizamridzuan@hmetro.com.my


Rekaan yang maskulin dan ‘brutal’ diterap dengan seni rekaan menarik menjadikan model MV Agusta Brutale 800 motosikal berkuasa tinggi yang mempunyai karakter dan kelas tersendiri sejak diperkenalkan untuk pasaran global sekitar 2012.

Jenama asal Itali ini sememangnya mempunyai sejarah dalam teknologi perlumbaan dua roda sejak 1945 dan mula memasuki pasaran negara ini sekitar 1990-an.

Pengedar rasmi silih berganti dan yang terbaru oleh Moto Varese Asiatic Sdn Bhd. Generasi kedua Brutale 800 tampil dengan rekaan dan ciri terkini diperbaharui untuk peminat tegar dua roda tempatan.

Penulis berpeluang menunggang ujinya baru-baru ini dan tanggapan pertama yang terlintas di fikiran adalah berat dan sukar dikendalikan, tapi ia nyata tidak benar malah menawarkan ciri yang sebaliknya.

Menyentuh mengenai Brutale 800 baru ini, meskipun cuma model permulaan untuk jenama MV Agusta, ia lebih sesuai bagi mereka yang sudah ‘advance’ dalam menunggang motosikal berkuasa tinggi.

Enjin 798cc tiga silinder memberikan kelebihan dari segi kuasa tork yang responsif. Sebaik penulis mula menyesuaikan diri dengan jentera itu dan mendapat ‘chemistry’ bersama Brutale 800, ia menjadikan tunggangan menyeronokkan.

Tenaga yang lancar dan ringan pada kelajuan 100 kilometer (km)/sejam ke atas dengan enjin MVICS (Motor & Vehicle Integrated Control System) sarat teknologi dan sistem tersedia untuk ke litar lumba seperti quick-shift dan kawalan cengkaman lapan peringkat yang boleh dilaras.

Paparan sistem keseluruhan jentera pada panel meter digital penuh untuk maklumat perjalanan, odometer, trip, tiga mod tunggangan (normal, sport dan rain ditambah dengan mod individu) antara kelebihan untuk penunggang.

Cuma satu yang boleh ditambah baik ialah jika ada penanda aras bahan api lebih memudahkan perjalanan dan ia hanya ada tanda amaran yang membolehkan motosikal ini bergerak sejauh sekitar 30 kilometer lagi untuk mencari stesen minyak berhampiran.

Antara kelebihannya sebagai motosikal ‘naked’ premium bukan sahaja berprestasi malah memenuhi piawaian Euro 4 yang membantu mengurangkan pencemaran alam sekitar dengan pelepasan emisi rendah.

Tunggangan pendikit ride-by-wire, tidak sahaja melancarkan perjalanan malah enjin berfungsi lebih efisien dan mudah dikawal mengikut mod pemanduan.

Tempat pemegang lebar untuk lebih kestabilan dan keselesaan dengan pelbagai punat larasan untuk keperluan yang mudah digunakan terutama ketika motosikal bergerak.

Dari segi rekaan ia direka dengan nilai seni yang tinggi dengan perincian kemas dan rapi termasuk logo MV Agusta yang ditampilkan pada bahagian-bahagian kecil.

Logo MV boleh dilihat pada tempat letak kaki, tongkat, besi pemegang dan lain-lain bahagian menjadikan ia bukan sekadar jentera motosikal yang dihasilkan untuk menyasarkan angka jualan semata-mata.

Tempat duduk dua pelana dengan ketinggian 830 milimeter (mm) pula mempunyai lubang di bawahnya sebagai satu ciri aerodinamik dan estetika yang tinggi untuk rekaan motosikal.

Lampu hadapan bukan sahaja jelas dan terang dengan LED penuh malah rekaan yang bujur tampil unik dan moden juga bahagian lampu belakang direka dengan kemas memenuhi tambah nilai untuk motosikal ini.

Kerangka diperbuat aloi ringan dan besi komposit trelis dipadankan dengan tangki bentuk trapezium berkapasiti 16.5 liter yang disekalikan dengan kotak angin menjadikan ia lasak dan tampil agresif.

Ekzos dengan tiga paip pada motosikal ini menjadikan bentuk keseluruhan dipadankan dengan baik dan bunyinya yang standard sudah cukup untuk ia menyerlah di jalan raya.

Lengan ayun tunggal boleh laras pada monoshock belakang untuk kestabilan tunggangan terutama ketika melewati selekoh panjang atau pendek tetap pada laluannya terutama ketika kelajuan tinggi.

Fork hadapan terbalik Marzocchi boleh laras 43mm dengan angkup brek cakera hadapan 320 milimeter (mm) jenama Brembo dan belakang dengan 220mm jenis perlumbaan membolehkan kita memberhentikan motosikal dengan baik pada sebarang kelajuan.

Secara keseluruhan MV Agusta Brutale 800 sebuah motosikal yang sentiasa menarik perhatian kerana rekaan yang unik serta tampil berbeza daripada jenama Itali yang lain.

Sistem dan teknologi yang tersedia untuk ‘melayan’ selekoh di litar lumba selain sesuai untuk tunggangan seharian sebagai pakej premium yang sentiasa dimahukan buat peminat motosikal berkuasa tinggi.

Prestasinya sentiasa berkuasa dengan tork pantas dan responsif terutama di lebuh raya memberikan kepuasan tersendiri buat penulis selain mudah dikawal ketika melepasi kesesakan jalan raya di Kuala Lumpur.

Melayan selekoh memang mengasyikkan kerana ia tepat dan stabil seterusnya meningkatkan keyakinan penunggang dengan monoshock belakang daripada Sachs berfungsi baik.

Ciri unik lain seperti EAS 2.0 dengan sistem elektronik untuk tukaran gear enam kelajuan dengan klac beroperasi secara hidraulik dan gandingan enjin daripada sistem MVICS untuk prestasi maksimum.

Satu tangki penuh dengan pelbagai kelajuan mampu bergerak sejauh 230km bergantung pada gaya tunggangan dengan kelajuan maksimum mencecah 240km/j.

Posisi menunggang menjurus kepada gaya agresif dan sesuai buat mereka yang berketinggian 176 sentimeter dan ke atas terutama sekali untuk kaki mencecah jalan raya ketika memberhentikan jentera ini.

Dijual pada harga RM90,150 (atas jalan dengan insurans) dengan waranti dua tahun tanpa had perbatuan, model pemasangan tempatan CKD ini mula dijual untuk pasaran tempatan sejak awal 2017 dengan tiga pilihan warna iaitu hitam, putih dan merah.

INFO

MV AGUSTA BRUTALE 800

• Enjin: 798cc; 3-silinder sebaris; 4 lejang; 12 injap; sejukan cecair

• Kuasa: 109hp pada 7,600rpm

• Tork: 83Nm pada 7,600rpm

• Kapasiti tangki: 16.5 liter

• Sistem keselamatan: Brek ABS Bosch 9

• Harga: RM90,150 (atas jalan dengan insurans)

* Paparan ini boleh disaksi dalam segmen Vroom Berita TV9 hari ini, jam 12 tengah hari dan 8 malam.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 September 2017 @ 12:02 AM