SEORANG peserta bersama Toyota KE20 yang pernah dinobatkan King of Retro Havoc 2016.
MOTOSIKAL di KW Autoshow 2017.
Fatin Farhana Japre
metahad@hmetro.com.my

Kehadiran lebih 5,000 pengunjung memeriahkan lagi acara KW Autoshow 2017 sempena kejuaraan Malaysian Cubprix pusingan ke-6 di Jasin Bistari, Melaka baru-baru ini.

Ternyata masyarakat khususnya golongan muda amat tertarik dengan pengubahsuaian kereta apabila masing-masing mengetengahkan jentera dua dan empat roda yang berwajah ekstrem serta ranggi!

Pameran yang memasuki tahun kedua anjuran KW Motorsport Autoshow dengan kerjasama Safe Aim Mutual ini menerima penyertaan sebanyak 55 motosikal dan 106 kereta pelbagai model membabitkan peserta dari seluruh negara.

Acara ini diserikan lagi dengan kemunculan lebih 200 motosikal dan 400 kereta pelbagai model mengikut kelab masing-masing seperti Honda Repsol dan Wira.

Pengarah Program KW Autoshow, Rizalman Mohammed berkata, pertunjukan itu dijadikan platform kepada pemilik kereta berkongsi hasil pengubahsuaian kenderaan mereka dengan orang ramai sekali gus bertukar idea antara satu sama lain.

“Bagi mereka yang berminat membuat pengubahsuaian, inilah tempat mereka berkongsi idea dan pengalaman. Pengunjung berpeluang melihat sendiri bagaimana bentuk pengubahsuaian dilakukan seperti pengubahsuaian enjin, badan, sistem audio dan pemasangan aksesori tambahan.

“Ini adalah inisiatif KW Motorsport untuk membuktikan kemampuan dan hasil kreativiti ‘anak tempatan’ di mana mereka mampu menghasilkan bentuk pengubahsuian setaraf dengan peminat kereta ekstrem luar negara,” katanya.

Beliau berkata, KW Autoshow kali ketiga akan dianjurkan di Jempol, Negeri Sembilan pada kejuaraan Malaysian Cubprix pusingan ke-9 tetapi buat masa ini masih dalam perbincangan.

Pelbagai jenama dan model motosikal dan kereta tempatan yang diubah suai menjadi perhatian ramai seperti 135LC, Yamaha RXZ, Persona, Saga FLX, Wira, Kancil dan banyak lagi.

KW Autoshow mempertandingkan beberapa kategori kereta seperti Perodua Standard Modified, Proton Standard Modified, Perodua Modified, Proton Modified, MPV & Van Open, Open Oversea Car, Best Stance, Best Split Fire dan Best Car Club Support.

Kategori motosikal pula ialah 2T Standard, 4T Standard, Retro Open, Klasik Open, Best Colour, Best Airbrush dan Best Motor Club Support.

Pengunjung, Asmady Asri, 26, berkata dia sanggup memandu dari Muar, Johor ke Jasin, Melaka untuk menyaksikan pameran kereta dan motosikal yang diubah suai serta perlumbaan Cubprix.

“Saya dapat banyak ilmu berhubung penjagaan enjin, ubah suai kenderaan dan aksesori dalaman daripada beberapa pemilik kenderaan di pameran ini. Program ini juga baik, terutama kepada golongan muda bagi mengelakkan kami terjebak dalam aktiviti tidak sihat seperti lumba haram,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 September 2017 @ 3:13 AM