DIJANA enjin 750cc V-twin.
GAYA santai moden klasik.
Lizam Ridzuan
lizamridzuan@hmetro.com.my

Model Guzzi V7 III Anniversario edisi terhad baru-baru ini diperkenalkan bersempena pembukaan pusat jualan, servis dan alat ganti (3S) Moto Guzzi dan ruang gaya hidup permotoran Gasket Alley di Petaling Jaya, Selangor.

Didi Resources yang mula membawa masuk jenama motosikal Itali itu sejak awal 2017, kini dilantik pengedar rasmi bagi pasaran tempatan.

Model itu dihasilkan bersempena ulang tahun ke-50 Moto Guzzi dan hanya dikeluarkan secara terhad sebanyak 1,000 unit di seluruh dunia.

Dengan rekaan moden klasik dan posisi menunggang santai, V7 adalah model ikonik jenama Moto Guzzi yang kini memasuki generasi ketiga.

Enjin dengan kapasiti 744 cc V-twin empat lejang itu mampu menjana kuasa kuda 38 kW pada 6,200 rpm dan tork 60 Nm pada 4,900 rpm dengan enam transmisi kelajuan.

Fork hadapan teleskop hidraulik 40mm dipasang brek cakera berdiameter 320 milimeter (mm) dan angkup Brembo dengan empat saiz piston berbeza. Turut dipadankan ialah suspensi belakang dengan lengan ayun loyang dan dua penyerap hentakan dengan spring prabeban boleh dilaras.

Ketinggian pelana 770 mm selesa untuk tunggangan santai dengan roda jejari serta rim hadapan bersaiz 18 inci dan 17 inci untuk belakang memberi pengendalian mantap sebuah street cruiser.

Kapasiti bahan api sekitar 21 liter termasuk empat liter simpanan dengan berat kering 193 kilogram (kg) dan bahagian bawah tempat duduk pada penutup kerangka terdapat nombor 50 sebagai simbol edisi sambutan ulang tahunnya.

Harga jualan model yang diimport sepenuhnya (CBU) dari Itali ini bermula daripada RM81,999 dan hanya satu warna ditawarkan iaitu krom.

Untuk pasaran tempatan, Moto Guzzi menawarkan lima model lain iaitu V7 III Stone, Special dan Racer serta V9 Roamer dan Bobber pada harga RM67,000 hingga RM75,000.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 September 2017 @ 3:16 AM