PAPARAN meter LCD dengan fungsi takometer analog.
PERUMAH lampu hadapan seakan Z1000.
FORK terbalik dengan penyerap lantunan redaman.
BENTUK Sugomi serlah imej garang.
Mohd Razlan Salleh
mrazlan@hmetro.com.my


Hanya dengan mendengar saja bunyinya, ramai yang menoleh mencari sebelum mata tertumpu tajam pada jentera biru yang sporty.

Melihat pada bentuknya, ramai sudah mengenali jentera dimaksudkan adalah keluaran Kawasaki. Reka bentuk Sugomi dan futuristik menjadi ‘trademark’ untuk model Supernaked terbaru mereka, Kawasaki Z900.

Sugomi yang membawa maksud ‘mengagumkan’ itu diterjemahkan menerusi rekaan tirus dan tajam, manakala ruang enjin padat menempatkan nadi kuasa Z900.

Model gantian bagi Z800 ini kelihatan lebih bergaya dengan padanan reka bentuk dan casis baru yang secara tidak langsung mengurangkan berat jentera berkuasa ini berbanding Z800.

Kerangka Trellis yang menyokong enjin ternyata lebih ringan tetapi padat, menjadikannya lebih kukuh dan stabil ketika memecut atau mengambil selekoh pada kelajuan tinggi.

Warna biru metalik membolehkan jentera ini kelihatan lebih menarik, manakala susuk tubuhnya yang meruncing jelas kelihatan. Lampu hadapan simetri berkembar menyamai ahli keluarga siri Z, manakala lampu brek LED menyinarkan cahaya berbentuk ‘Z’ adalah identiti terbaru model ini.

Konsol meter LCD pelbagai fungsi dengan paparan takometer analog, selain bacaan kedudukan gear memudahkan penunggang mengawal kelajuan. Indikator mod tunggangan ekonomi adalah tambah nilai bagi model ini.

Melihat pada keupayaan jentera ini, enjin empat silinder sebaris 16 injap DOHC menghamburkan kuasa 948cc dengan 124 hp pada 9,500 rpm, manakala 98.6Nm tork pada 7,700 rpm.

Suntikan bahan api elektronik bersama Sub-Throttles Valves menjadikan putaran enjin lebih lancar dan bergerak mengikut kehendak penunggang.

Suspensi fork terbalik 41mm pada roda hadapan dan imbangan monoshock belakang memastikan jentera mudah dikawal pada sebarang situasi kelajuan. Lengan ayun aloi seberat 3.9 kilogram (kg) turut membantu mengurangkan berat jentera supaya mudah dikendalikan.

Menariknya, padanan klac slipper membolehkan tayar belakang terkunci ketika gear diturunkan secara agresif, pada masa sama menjadikan klac lebih lembut.

Bagi model ini, ia dilengkapi sistem brek anti-kekunci (ABS) yang berfungsi bersama brek cakera hadapan berkembar 300mm bersama angkup 4 piston dan cakera 250mm kaliper piston tunggal pada roda belakang.

Oleh kerana berat jentera sekitar 213 kg, penulis tidak menghadapi masalah ketika menunggang di tengah-tengah kesesakan jalan raya. Bentuknya yang agak kecil tetapi padat membolehkan jentera dikawal dengan baik.

Pecutannya pula tidak sedikit pun menghampakan apabila kelajuan mampu ditingkatkan serta-merta walaupun ketika berada pada kedudukan gear tinggi.

Model edisi khas Z900 ABS ini berbeza dengan model Z900 standard apabila didatangkan dengan penutup tempat duduk belakang, soket DC, skrin radiator, slider badan dan tayar hadapan, pelindung enjin serta grafik menarik.

Untuk mereka yang mahu berjinak-jinak dengan jentera berkuasa tinggi atau memerlukan motosikal bergaya untuk tunggangan harian, Kawasaki Z900 inilah jawapannya.

Berharga RM50,959 untuk edisi khas dan RM49,158 untuk versi standard, model ini memberi kepuasan kepada pemilik bermula ketika gear pertama dimasukkan.

SPESIFIKASI:

KAWASAKI Z900 ABS SPECIAL EDITION

Enjin: 948cc empat lejang sebaris DOHC 16 injap sejukan cecair

Transmisi: Enam kelajuan

Kerangka: Trellis

Suspensi hadapan: Fork terbalik dengan penyerap lantunan redaman dan spring prabeban boleh laras

Suspensi belakang: Back-link mendatar dengan lantunan redaman dan spring prabeban boleh laras

Berat: 213kg

Tangki bahan api: 17liter

Harga: RM50,959 tanpa insurans

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 September 2017 @ 3:54 AM