SETIAP pengembaraan ada cerita tersendiri.
HM Digital

Siapa sangka motosikal Honda C70 keluaran 1997 yang dibeli seorang lelaki di Muar, Johor tahun lalu dengan harga RM2,400 mampu menjelajah hingga ke selatan Thailand.

Pengembaraan Mohd Fadzli Ghazali, 31, bersama rakannya, Sahrul Nahar Musthapa, 27, mengambil masa empat hari bermula dari Muar, Johor dan menempuh beberapa negeri menghala ke utara tanah air sebelum menyeberangi sempadan dua negara di Bukit Kayu Hitam, Kedah.

Mohd Fadzli berkata, mereka terlebih dahulu membuat persediaan dua minggu menjelang tarikh bertolak.

“Sebelum memulakan perjalanan, saya memeriksa kenderaan memandangkan usia motosikal menjangkau 20 tahun dan perlu lakukan ‘engine overhaul’ dan servis asas dengan kos anggaran RM400,” katanya ketika ditemui, baru-baru ini.

Sewaktu perjalanan, beliau menempuh pelbagai cabaran termasuk melawan aliran angin kuat terutama ketika bergerak di sisi kenderaan yang jauh lebih besar termasuk lori dan bas.

Bagi memastikan kelancaran perjalanan serta menjimatkan penggunaan petrol, jenteranya digerakkan dengan kelajuan konsisten di antara 90km/j dan 100km/j. Kos keseluruhan perjalanan ialah sekitar RM700.

“Sewaktu perjalanan, saya berkesempatan menemui rakan baru dan saling bertukar pendapat. Lazimnya, pengembara terlupa membawa pin atau penyambung rantai motosikal sedangkan komponen sekecil ini mempunyai impak besar dalam sesuatu pengembaraan.

“Ketika melintasi pintu sempadan negara menghala ke Danok, saya juga menghadapi kesulitan akibat masalah dokumentasi tetapi akhirnya dibantu oleh konvoi pemilik motosikal berkuasa tinggi. Pada awalnya saya segan untuk meminta bantuan tetapi selepas disapa, mereka dengan rela hati membantu.

“Malah ada antara mereka yang bersusah payah menyediakan segala keperluan yang berkaitan semata-mata membantu saya masuk ke Thailand,” katanya.

Kepada semua pemilik motosikal, jangan lupa sertai Kembara Merdeka 2017 bertempat di Putrajaya, hari ini.

Kembara Merdeka 2017 juga boleh ditonton secara langsung menerusi Berita TV9, jam 12 tengah hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 September 2017 @ 3:56 AM