UNIT pandu uji ketika pelancaran.
CRONER sesuai sebagai trak tugasan sederhana.
Lizam Ridzuan
lizamridzuan@hmetro.com.my


Menerima 50 tempahan awal daripada 30 syarikat logistik dan pengangkutan tempatan menjadikan model serba baru Croner daripada UD Trucks trak tugasan sederhana pilihan pemain industri di negara ini.

Dilancarkan untuk pasaran tempatan baru-baru ini dengan dua berat kasar kenderaan (gross vehicle weight) iaitu LKE dan PKE dengan pilihan enjin 5 liter dan 8 liter.

Bebanan kapasiti masing-masing ialah 14.5 tan dan 18.5 tan dengan pilihan kotak gear automatik antara kelebihan jenama ini. Trak yang mengutamakan aspek versatiliti, operasi dan keselamatan ini direka menggunakan komponen tahan lasak serta berkualiti tinggi bagi mempertingkatkan produktiviti dan tempoh operasi.

Trak Croner antara model yang jimat penggunaan bahan api gabungan siri enjin GHE dan reka bentuk kabin yang lebih aerodinamik untuk pengalaman memandu yang mudah serta menenangkan terutama untuk perjalanan jarak jauh.

Untuk LKE, ia menghasilkan kuasa kuda 210hp dan PKE pada 250hp dengan penarafan enjin Euro 3. Kepelbagaian tapak roda menawarkan konfigurasi yang luas untuk keperluan jitu pelbagai industri berbeza bagi memudahkan binaan khas badan trak melalui lubang tersedia pada kerangka.

Sistem brek udara sepenuhnya termasuk sistem brek anti-kunci (ABS) dengan brek dram S-cam disediakan untuk semua varian bagi keselamatan maksimum terutama ketika membrek dengan bebanan tinggi termasuk Pengagihan Brek Elektronik (EBD).

Pengarah Eksekutif TCIE, Tan Keng Meng berkata, selaku pengedar tunggal UD Trucks di Malaysia, kualiti trak ini diakui hasil pembangunan dan ujian selama tiga tahun bersama jurutera pakar serta berbangga dapat menyumbang kepada pertumbuhan jenama ini di Malaysia.

“Sebanyak 1.7 juta jam dihabiskan dalam aspek kejuruteraan, 30,000 jam untuk menguji Croner dengan 90 radas ujian dan 100 trak ujian digunakan bagi memastikan kualiti yang luar biasa dihasilkan untuk pengguna,” katanya pada majlis pelancarannya, baru-baru ini.

Trak ini juga dilengkapi Front Underrun Protection (FUP) yang menghalang kereta penumpang daripada terperosok ke bawah trak seandainya berlaku pelanggaran dari arah hadapan.

Katanya, pelanggan yang membeli Croner disertakan dengan sistem pemantauan jarak jauh UDTrucks - UD Telematics yang menyediakan maklumat mengenai kenderaan, pengesanan lokasi, laporan bahan api serta maklumat lain untuk selenggaraan trak.

Model Croner dijual pada harga bermula RM170,000 hingga RM220,000 dan tambahan RM40,000 bagi kotak gear transmisi automatik.

UD Trucks yang dimiliki pembuat trak Volvo Group sejak 2007, ditubuhkan di Jepun pada 1935 sebagai Nissan Diesel memasuki pasaran Malaysia empat dekad lalu menerusi Tan Chong Industrial Equipment (TCIE).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 September 2017 @ 4:03 AM