GAYA maskulin menyerlah.
Lizam Ridzuan
lizamridzuan@hmetro.com.my

Sebagai sebuah model motosikal premium, BMW R 1200 RS bukan sahaja menawarkan prestasi malah sesuai untuk pelbagai tujuan perjalanan.

Dikategorikan sebagai sports touring, rekaan ditampilkan bukan saja selesa malah bergaya ditunggang sama ada dalam bandar atau menjelajah ke sesuatu destinasi.

Penulis berpeluang menguji kelebihan model ini yang diperkenalkan di pasaran sekitar 2015 dan mendapati jentera ini sangat bertenaga terutama ketika meluncur di lebuh raya.

Enjin boxer dengan kapasiti 1,170cc silinder berkembar empat lejang selari dengan sejukan air dan udara memberikan kendalian yang ringkas serta mudah.

Jentera ini menjana kuasa 125PS manakala daya tork 125Nm dengan sistem ekzos dua dalam satu selain mod tunggangan Rain dan Road serta Kawalan Kestabilan Automatik (ASC).


MODEL sport touring lasak bergaya.

Kelebihan model ini terletak pada Larasan Suspensi Elektronik (ESA) BMW Motorrad Dynamic untuk prestasi dan keselesaan terbaik bagi menyerap pelbagai bentuk permukaan jalan.

Kotak gear transmisi enam kelajuan dioperasikan secara hidraulik yang berhubung melalui shaft, menjadikan perjalanan lebih kemas dan lancar dengan kemampuan kelajuan maksimum melebihi 200 kilometer sejam (km/j).

Brek Anti-Kunci (ABS) dengan angkup Brembo untuk dua brek cakera bersaiz 320 milimeter (mm) sangat membantu memberhentikan motosikal dalam keadaan stabil ketika kelajuan tinggi.


PACUAN shaft untuk roda belakang dengan lengan ayun tunggal.

Kluster instrumen pelbagai fungsi dengan speedometer analog, paparan TFT pelbagai maklumat dan alat pengesan cahaya digunakan untuk mengubah suai tahap kecerahan skrin secara automatik.

Model dipertingkatkan ini tampil menawan dengan fairing separuh bentuk maskular dengan gabungan warna biru dan perak serta lampu nyalaan siang (DRL) untuk lebih jelas pada waktu siang atau malam.

Posisi pelana setinggi 820 milimeter (mm) selesa kepada penunggang dan pembonceng, menjadikan R 1200 RS sesuai untuk penjelajah.


PANEL meter pelbagai maklumat.

Untuk membawa barangan, beg sisi atau belakang boleh dipasang sebagai aksesori pilihan.

Tangki bahan api sebesar 18 liter mampu membawa jentera ini sejauh lebih 350 kilometer (km), bergantung kepada cara dan gaya tunggangan serta faktor permukaan jalan.

Untuk pasaran tempatan, hanya warna biru metalik ditawarkan bagi model BMW R 1200 RS diimport sepenuhnya (CBU) dari Jerman ini dan dijual pada harga RM101,900 termasuk dua tahun waranti pengeluar tanpa had perbatuan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 November 2017 @ 1:17 AM