HONDA CB500F berciri agresif.
Mohd Razlan Salleh
mrazlan@hmetro.com.my

Motosikal jenis ‘naked’ sememangnya popular dalam kalangan penghuni kota berikutan mudah dikendalikan selain bentuk yang kebiasaannya sangat menonjol berbanding kelas lain.

Ini kerana bahagian motosikal kelas ini hanya ada perumah lampu hadapan dan tiada fairing, maka mata akan terarah kepada kepadatan ruang enjin yang memukau.

Antara model paling ‘menggetar jiwa’ adalah Honda CB500F yang dikategorikan sebagai motosikal kelas pertengahan (middleweight).

Peluang menunggang uji jentera terbaru ditawarkan Boon Siew Honda (BSH) ini digunakan sebaik mungkin.


BAHAGIAN hadapan yang bergaya.

Reka bentuknya tidak perlu dipertikaikan kerana model naked daripada Honda memang terbaik antara pesaingnya.

Tambahan pula, warna kuning lemon menambahkan lagi gaya motosikal dua silinder sebaris ini.

Tunggangan santai berulang-alik ke tempat kerja bukan menjadi masalah apabila penulis mudah mencelah antara kenderaan ketika mengharungi kesesakan jalan raya.

Ternyata model ini sangat praktikal untuk kegunaan harian, tambahan pula beratnya hanya sekitar 188 kilogram.

Bentuk dan kedudukan pelana sesuai dengan ketinggian kebanyakan penunggang yang rata-rata antara 1.5 hingga 1.8 meter.


PEREDAM bunyi rekaan baru.

Bagi penulis, pelana tidak terlalu tinggi dan tidak pula terlalu rendah sehingga terpaksa menjengket kaki ketika berhenti.

Posisi pemegang dan gaya pengendaliannya santai dan mudah menyebabkan tangan penulis tidak berasa lenguh walaupun kerap mengelak kenderaan yang menukar laluan ketika kesesakan.

Bentuknya yang langsing membolehkan jentera dikawal dan tidak sukar bagi individu yang baru memperoleh lesen kelas B.

Walaupun enjin 471cc Parallel-Twin ini sangat berkuasa, penunggang tetap yakin untuk mengawalnya walaupun daya tork dapat dirasai meskipun pada gear tinggi.

Kuasa maksimum mencecah 37kW pada 8,500rpm dengan tork puncak 44Nm pada 7,000rpm dianggap sudah memadai.

Apabila pendikitnya dipulas, kuasa disalurkan tidak terlalu agresif dan sangat praktikal serta stabil untuk tunggangan bandar.

Namun, sekiranya mahu memecut, jentera ini menawarkan kuasa diinginkan sehingga mampu mencapai kelajuan melebihi 160 kilometer sejam (km/j).


ENJIN Parallel-Twin yang stabil.

Bagaimanapun, tujahan angin sentiasa menjadi ‘musuh utama’ motosikal naked kerana ketiadaan penghadang angin atau fairing untuk daya aerodinamik lebih baik.

Honda CB500F sudah menerapkan konsep reka bentuk motosikal masa depan apabila kombinasi kedua-dua perumah lampu depan dan belakang menggunakan teknologi LED.

Ditambah peredam baru yang lebih agresif dan sporty, menampakkan jentera ini seakan-akan memiliki kuasa enjin lebih besar.


LAMPU belakang LED.

Meter digital LCD sepenuhnya mudah dilihat dalam sebarang keadaan selain membuktikan komitmen Honda menawarkan produk terbaik kepada pelanggan.

Informasi asas seperti takometer, speedometer, takat bahan api dan jarak perjalanan yang jelas membolehkan penunggang terus fokus terhadap tunggangan.


PAPARAN meter LCD.

Sistem gantungan Teleskopik pada bahagian hadapan dan Pro-link pada roda belakang memastikan tunggangan stabil dalam semua keadaan atau kelajuan.

Ciri keselamatan turut diutamakan apabila model ini didatangkan dengan sistem brek Nissin pada kedua-dua roda.

Keseluruhannya, jika mahu berjinak dalam dunia motosikal kelas pertengahan tanpa memikirkan penyelenggaraan yang rumit dan kegunaan petrol yang tinggi, Honda CB500F adalah pilihan terbaik.

Berharga RM34,861.28 (tanpa insurans), Honda CB500F turut ditawarkan dengan warna Merah Milenium dan Hitam Matt yang menarik.


SISTEM brek Nissin.

HONDA CB500F

• ENJIN: 471cc dua silinder sebaris Parallel-Twin, lapan injap DOHC, sejukan cecair

• KUASA MAKSIMUM: 37kW pada 8,500rpm

• TORK MAKSIMUM: 44Nm pada 7,000rpm

• TRANSMISI: Enam kelajuan

• KAPASITI TANGKI: 16.7 liter

• HARGA: RM34,861.28 (tanpa insurans)

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 November 2017 @ 1:29 AM