KEKAL asli dengan konsep JDM.
Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi
metahad@hmetro.com.my


Kebiasaannya, peminat kereta lama atau retro akan mengekalkan konsep ‘Japanese Domestik Market’ atau JDM dan akan tetap setia memelihara keaslian jentera buatan negara matahari terbit itu.

Memang diakui sukar menemukan jentera yang masih mengekalkan konsep sebegitu, apatah lagi sekiranya ia adalah kereta yang sukar diperoleh ketika ini.

Antaranya Toyota KE70 Liftback milik seorang peniaga di Taiping yang sentiasa menarik perhatian ramai setiap kali menyertai pameran kereta.

Pemilik dikenali sebagai Pak Din ‘Liftback’, 36, mengakui kenderaan kesayangannya itu adalah model Corolla Coupe yang dikeluarkan pada 1979.

Pada era 1980-an, model dua pintu sangat digemari dan menjadi pilihan anak muda pada zaman itu.

Bernadikan enjin 4K Stage II bersesaran 1,300cc, jentera ini diberi kemasan pada ruang enjin dan tidak hairanlah sering memenangi kategori ‘Best Enjin Bay’.

Ruangan dalamannya masih mengekalkan papan pemuka dan meter kelajuan asal, namun penggunaan stereng Nardi dan Semi Bucket Bride pada semua kerusi menaikkan ‘seri’ jentera retro ini.

Salutan warna Yellow Diamond Pearl 2K tampak bergaya selain penggunaan penyerap hentak boleh laras TRD Hi/Low pada roda hadapan dan TRD 8 Step di belakang menawarkan imej sporty.

Penggunaan rim 15 inci Watanabe yang disaluti tayar Hankook 195/50/R15 menjadi pelengkap kepada rupa jentera dan tampak lebih gah.

Pemilik yang juga ahli kelab Kereta Retro Taiping (KARAT) ini mengakui membelanjakan lebih RM14,000 untuk mengekalkan aura DNA keretanya.

Keadaan itu membolehkan kereta kesayangannya kerap menaiki podium khusus bagi kategori dua pintu.

Katanya, dengan rupa masih kekal asli seperti mula dikeluarkan, ada peminat automotif menawarkan RM20,000 untuk memilikinya.

Bagaimanapun, Pak Din ‘Liftback’ menolak tawaran itu dengan alasan sangat menyayanginya selain satu jentera warisan keluarga.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Disember 2017 @ 2:56 PM