Skip this ad x
HONDA Accord kini dilengkapi Honda Sensing.
Lizam Ridzuan

Selepas Kenderaan Utiliti Sukan (SUV) Honda CR-V, Honda Malaysia Sdn Bhd (HMSB) memperkenalkan teknologi keselamatan Honda Sensing untuk model terbaru Accord sebagai nilai tambah terhadap pendahulu kenderaan segmen D itu di negara ini.

Boleh didapati dalam varian Accord 2.4 VTi-L Advance, varian tertinggi itu juga dilengkapi lampu hadapan dan belakang LED, unit Paparan Audio Termaju bersaiz tujuh inci dengan i-MID yang boleh dipadankan bersama Apple CarPlay dan Android Auto Ready serta Honda LaneWatch.

Naib Presiden Kumpulan HMSB, Akkbar Danial berkata, ketika generasi kesembilan Accord dilancarkan pada 2013, model berkenaan sudah menetapkan tanda aras baru dalam kenderaan segmen D dengan ciri premium dan moden seperti kamera LaneWatch.

“Pengenalan teknologi Honda Sensing terhadap model Accord adalah pakej premium lengkap untuk kenderaan bawah RM200,000 dalam pasaran tempatan. Ini adalah ciri tambahan untuk kemudahan dan keselamatan pengguna,” katanya.

Antara ciri utama Honda Sensing ialah Kawalan Pelayaran Adaptif (ACC) bagi menetapkan kelajuan dan jarak dengan kenderaan hadapan sebagai langkah keselamatan ketika pemanduan.


TEKNOLOGI Honda Sensing tampil premium.

Sistem Amaran Pelanggaran Hadapan (FCW) pula mengenal pasti kenderaan di hadapan dengan mengeluarkan bunyi amaran dan visual sekiranya risiko pelanggaran dikesan. Bagi Sistem Brek Pengurangan Pelanggaran (CMBS), teknologi ini boleh bantu pemandu membrek secara progresif apabila risiko pelanggaran semakin tinggi.

Sistem Bantu Kekal Laluan (LKAS) yang diaktifkan melalui kamera akan membaca tanda atau garisan di jalan raya dan membantu pemandu serta kenderaan kekal pada laluan.

Pengurangan Pelepasan Laluan (RDM) akan menggunakan brek dan membantu pemandu memutar roda stereng sekiranya kenderaan mereka terlalu hampir dengan pembahagi jalan raya.

Amaran Pelepasan Laluan (LDW) memantau posisi laluan kenderaan melalui kamera dan memberi amaran kepada pemandu jika kenderaan menukar laluan tanpa mengaktifkan lampu isyarat.


LAMPU hadapan dan belakang LED.

Honda Accord didatangkan dalam dua varian iaitu 2.0 Vti-L dan 2.4 VTi-L Advance yang dijual pada harga bermula RM149,350 dan RM169,800 (tanpa insurans).

Lima warna ditawarkan iaitu Putih Orchid Pearl, Biru Obsidian Pearl, Perak Lunar Metallic, Modern Steel Metallic dan Hitam Crystal Pearl. Setiap varian didatangkan bersama waranti lima tahun tanpa had perbatuan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Disember 2017 @ 12:40 AM