YAMAHA Dragstar 650 sarat komponen Harley-Davidson.
Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi
metahad@hmetro.com.my


Kacukan pelbagai komponen binaan khas Harley-Davidson mengubah rupa bentuk motosikal Yamaha Dragstar 650 dengan gaya tersendiri.

Diberi gelaran gaya Cholo Lowrider Style atau Chicano Style, motosikal ‘santai’ ini ternyata tampak rendah dan cukup bergaya.

Keistimewaan jentera binaan tahun 2000 milik Muhammad Zaki Azuddin,39, dari Perak ini adalah penggunaan komponen binaan khas untuk Harley-Davidson.

Hanya mengekalkan kerangka, tangki dan enjin asal, jentera ini mula dipadankan dengan rim Harley-Davidson bersaiz 21 inci pada roda depan, manakala rim 16 inci pada bahagian belakang.

Menaikkan lagi imej rim ini, dipadankan tayar White Wall Shinko pada bahagian hadapan dan White Wall Bridgstone membaluti roda belakang.

Mudguard binaan khas yang tampak sama seperti model Harley-Davidson Softail atau Fatboy Cholo Style digunakan.

Bahagian lampu hadapan bersaiz diameter tujuh inci digunakan dan lebih menarik, perumah lampu asal daripada model Road King.

Lampu belakang pula menggunakan lampu kustom aksesori jenis grill dan bar pemegang Custom APE Hanger Style berketinggian 16 inci.

Imej dan gaya jentera lebih menyerlah serta tampil garang apabila dipadankan dengan ekzos binaan khas yang menghamburkan ngauman cukup memukau.

Ditanya mengenai idea rekaan, pemilik jentera mengakui hasil kreativiti sendiri dan mengambil masa kurang sebulan untuk disiapkan dengan kos RM7,000.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Disember 2017 @ 3:18 AM