Lizam Ridzuan
lizamridzuan@hmetro.com.my


Paling berkuasa pernah dihasilkan untuk jentera dengan enjin belakang tengah (mid-rear-engined) lapan silinder (V8), Ferrari 488 Spider menggabungkan elemen prestasi dan gaya dalam satu.

Penulis berpeluang memandu uji Supercar kelas roadster coupe yang disediakan Naza Italia Sdn Bhd sebagai pengedar eksklusif jenama mewah itu untuk pasaran tempatan dengan sentuhan ciri baru bagi menggantikan model Ferrari 458.

Sebaik mendapat kunci dan menghidupkan kenderaan, ngauman enjinnya cukup menyerlah sebagai jentera prestasi hebat dengan DNA perlumbaan Formula Satu (F1) daripada pasukan Ferrari Scuderia.

Melihat kepada bentuk luaran, ciri asas sebuah jentera sport sudah pastinya pusat graviti rendah dan kerangka lebih lebar yang secara tidak langsung menjadikan 488 kekal sporty, stabil pada kelajuan tinggi.

Model ini dibina daripada 11 jenis aluminium aloi dengan gabungan logam seperti magnesium yang menawarkan casis 23 peratus lebih kukuh berbading model sebelumnya.


SIMBOL status dan gaya.

Walaupun dilihat pada mata kasar rekaannya seakan sama dengan model 458 tetapi tetap berbeza terutama casis dan enjin pengecas turbo dengan teknologi termaju Ferrari.

Paling menonjol rekaan lubang udara pada sisi kenderaan selain bampar hadapan rekaan baru untuk memberi kelebihan aliran angin dan aerodinamik paling sempurna pernah dicipta Ferrari.

Bahagian hadapan lampu diberi rekaan baru bersama perumah lampu nyalaan siang (DRL) dan bonet simpanan bagasi 230 liter, menjadikannya sesuai untuk bersiar-siar ke mana saja pada hujung minggu.

Bumbung RHT (Retractable Hard Top) boleh dibuka dalam tempoh 14 saat menjadikannya jentera bergaya bagi kepuasan pemanduan terutama ketika cuaca dingin.

Direka oleh Ferrari Design Centre, jentera ini kelihatan lebih panjang pada bahagian but dengan penutup enjin seakan ‘tulang rusuk’ yang tersimpa nadi 488.

Model ini mula dilancarkan pada 2016 kelihatan garang dengan padanan rim aloi lima jejari bersaiz 20 inci dengan saiz tayar hadapan 245/35 dan 305/30 pada roda belakang.


TAMPIL Lebih bergaya.

Ruang dalaman diinspirasikan daripada konsep F1 terutama pada bahagian roda stereng dengan pelbagai butang termasuk butang penghidup enjin dan tombol tukaran gear.

Rekaan papan pemuka ringkas, sporty dan mudah dikendalikan termasuk mengawal sistem infotainment dan pendingin hawa.

Bahagian konsol tengah terdapat butang untuk fungsi memandu dan undur serta tempat simpanan barangan kecil.

Menyentuh mengenai aspek pemanduan, Ferrari 488 Spider dilengkapi enjin F154CB, 3,902cc V8 pengecas turbo dengan kuasa 670PS pada 8,000 rpm dan tork setinggi 760Nm pada 6,750 rpm.

Ini membolehkan Supercar ini memecut daripada sifar hingga 100 kilometer sejam (km/j) dalam tempoh tiga saat.

Memandunya di lebuh raya memberi kepuasan tersendiri dengan pengendalian jitu dan pecutan yang responsif tanpa sebarang impak kekurangan kuasa.


PAPARAN meter digital dan analog.

Kotak gear transmisi dua klac tujuh kelajuan F1 memberi kuasa yang tiada tandingan terutama jika memecut.

Selain automatik, penulis boleh memilih pertukaran gear secara manual dan pastinya ngauman enjin V8 memberikan perasaan umpama memandu sebuah jentera lumba.

Ferrari menyatakan kelajuan maksimum direkodkan adalah325 km/j tetapi penulis berpeluang memerah hanya separuh daripada angka itu.

Ferrari 488 Spider didatangkan dengan sistem keselamatan terbaik seperti Sistem Brek Anti Kunci (ABS), kawalan kestabilan, beg udara impak hadapan dan tepi, tali pinggang keledar Pretensioner dan Kawalan Gelinciran Sisi 2 (SSC2).

Selain itu, pelapik brek seramik-karbon daripada teknologi LaFerrari (model Hibrid Ferrari edisi terhad) menjadikan jarak pemberhentian lebih singkat.

Kapasiti enjin 3.9 liter V8 dirasakan lancar pada pelbagai peringkat kelajuan dengan tiga mod pemanduan ditawarkan iaitu Race, Sport dan Wet.

Mengendalikannya di tengah kesesakan kota sama sekali tidak jauh beza dengan memandu kenderaan biasa, malah lebih selesa dan penulis tidak menyangka jentera ini kekal pada rpm tinggi walaupun pada kelajuan rendah.


RODA stereng pelbagai butang fungsi.

Suspensi hadapan juga boleh ditinggikan (jika diperlukan) dengan menekan butang pada konsol tengah.

Ini memudahkan jentera ini melepasi bonggol dan permukaan jalan yang tidak rata.

Secara keseluruhan, jentera Ferrari 488 Spider yang dibina di Maranello, Itali, bukan sekadar simbol status malah memberi pengalaman pemanduan terbaik kepada setiap pemiliknya.

Untuk pasaran tempatan, jentera ini dijual pada harga bermula RM1,168,800 dan pembeli boleh memilih untuk melakukan tempahan khas mengikut citarasa sendiri.

Penulis difahamkan, setiap pesanan model Ferrari mengambil masa dua tahun untuk disiapkan, jadi sudah pasti bakal pembeli mahukan koleksi jentera dengan citarasa tersendiri.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Disember 2017 @ 3:20 AM