MODEL bergaya bersama Honda X-ADV dan Africa Twin.
Mohd Razlan Salleh
mrazlan@hmetro.com.my


Sempena pembukaan Honda BigWing, pusat jualan dan servis bagi motosikal berkuasa tinggi Honda yang pertama di negara ini, minggu lalu, Boon Siew Honda (BSH) turut memperkenalkan tiga jentera berkuasa tinggi mereka yang bakal dilancarkan tidak lama lagi.

Tiga model berkenaan Honda X-ADV, CRF1000L Africa Twin 2018 dan CB1000R, dijangka menjengah pasaran bermula pertengahan tahun ini.

Tidak banyak boleh diperkatakan mengenai model ini, malahan harga jualan model diimport sepenuhnya (CBU) ini juga tidak diumumkan.

Honda X-ADV adalah kategori skuter yang menawarkan gaya tunggangan seakan-akan model touring tetapi dipadankan bersama kotak gear automatik.

Bersesaran 745cc, enjin berkenaan menawarkan 54 kuasa kuda (hp), menyamai nadi NC700.

Namun, perbezaan ketara adalah ruang di bawah pelana yang menawarkan ruang penyimpanan barang seluas 21 liter.

Gaya tunggangan turut disesuaikan dengan imej touring apabila didatangkan bersama bar hendal aluminium, meter instrumentasi ala rali dan tongkat tengah, selain posisi tunggangan menegak.

Jentera dengan sistem tanpa kunci (keyless) ini ditawarkan dalam empat pilihan warna menarik.

Sementara itu, CRF1000L Africa Twin tidak perlu diperkenalkan lagi apabila hadir dengan gaya tunggangan yang selesa.

Model popular di seluruh dunia ini dijana enjin empat injap parallel twin Unicam bersesaran 998cc yang menjana 95hp, manakala tork maksimum 99Nm.

Model ini bakal dilancarkan dengan dua pilihan kotak gear sama ada manual enam kelajuan atau transmisi klac berkembar automatik DCT.

Terdahulu, Honda BigWing di Ee Tiong Motorsports Sdn Bhd, Setapak, menawarkan pusat servis, alat ganti, aksesori dan ruang istirahat untuk keselesaan pelanggan.

Konsep pusat jualan dan servis direka khusus untuk menyediakan suasana yang bergaya, sofistikated dan premium kepada pelanggan.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif BSH, Nobuhide Nagata, optimis untuk membuka tiga lagi pusat sama di Pulau Pinang, Selangor dan Johor.

“Menerusi rangkaian dan penawaran model terbaru, BSH menyasarkan peningkatan jualan sebanyak 30 peratus atau lebih 1,600 unit dalam jualan motosikal Honda berkuasa tinggi tahun ini.

“Kami akan memberi fokus dalam menyediakan pengalaman terbaru di luar jangkaan pelanggan, selain bersedia memberi keterujaan kepada pasaran,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 Februari 2018 @ 2:06 PM