IVAN (kiri) bersama Madani dan Yamin (kanan) menunjukkan hadiah cabutan bertuah untuk pengunjung Malaysia Autoshow 2018.
Mohd Razlan Salleh
mrazlan@nstp.com.my


Berikutan pelbagai kejayaan besar diraih sepanjang Malaysia Autoshow pada November tahun lalu, Institut Automotif Malaysia (MAI) akan menganjurkan edisi keempat pameran pada 26 hingga 29 April depan.

Berlangsung di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), Malaysia Autoshow 2018 menyediakan pelbagai pameran lebih menarik dari seluruh dunia antaranya kenderaan konsep dan teknologi terkini berkaitan pengangkutan serta mobiliti.

Ketua Pegawai Eksekutif MAI, Datuk Madani Sahari berkata, sepanjang penganjuran Malaysia Autoshow tahun lalu, kehadiran mencecah 250,000 pengunjung.

“Keputusan mengadakan pameran di lokasi sama iaitu di MAEPS kerana tapak pamerannya yang luas membolehkan pelbagai sesi pandu uji kenderaan dijalankan selain lebih banyak aktiviti luar dilaksanakan.

“Pengalaman sebenar dirasai pengunjung sudah tentu menyumbang kepada jualan kenderaan lebih tinggi selain pandangan positif terhadap produk ditawarkan industri automotif tempatan,” katanya.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Naza Kia Malaysia Sdn Bhd, Ivan Kuan dan Pengerusi Bersama Malaysia Autoshow 2018, Yamin Vong.

Madani berkata, hampir semua jenama automotif terbesar akan mengambil bahagian dalam pameran tahunan itu bertemakan ‘360 Darjah Pengalaman Mobiliti’.

Antara daya tarikan Malaysia Autoshow 2018 kali ini termasuk peluang memahami masa depan mobiliti di Intelligent Mobility Experience (IMEX), hadiah cabutan bertuah Kia Picanto, pakej pelancongan percuma ASEAN, peluang memiliki set setem peribadi yang sah daripada Pos Malaysia Bhd dan penampilan sulung jenama legenda Jerman, Borgward.

Aktiviti luar pula menjanjikan aktiviti seperti demonstrasi pemanduan, pemeriksaan kereta percuma, perlumbaan go-kart, pameran audio ‘Music on Wheels’, pemanduan lasak, sesi pandu uji dan trak saji.

Tiket RM10 dikenakan terhadap pengunjung dan percuma bagi kanak-kanak berusia bawah 12 tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 April 2018 @ 2:19 PM