Mohd Razlan Salleh
mrazlan@nstp.com.my

Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) memperkenalkan Golf R-Line baru, sekali gus melengkapkan lagi rangkaian model Golf di negara ini.

Memiliki rupa bentuk sangat dikenali, jentera terbaru ini hadir bersama pakej ‘R-Line’ merangkumi bampar hadapan dan balakang, spoiler, lencana gril radiator dan panel sisi serta rim aloi ‘Singapore’ bersaiz 17 inci.

Pengarah Urusan VPCM, Erik Winter berkata, kehadiran R-Line melengkapkan rangkaian model Golf.

“Sejak melancarkan model keluarga Golf, kami menerima maklum balas sangat positif terhadap variannya.

“Dengan pelancarannya, varian keluarga Golf kini sudah sempurna,” katanya ketika majlis pelancarannya.

Volkswagen Golf adalah model ikonik dan mempunyai pengikut yang ramai termasuk di seluruh dunia apabila sudah terjual lebih 34 juta unit sejak diperkenalkan pada 1974.


LAMPU belakang tambah garang.

Di bawah hud, model terbaru ini didorong enjin 1.4L TSI bercas turbo Golf R-Line yang dipadankan bersama kotak gear direct shift (DSG) tujuh kelajuan, seterusnya menjanjikan kuasa 150PS manakala tork 250Nm dari 1,500 hingga 3,500rpm.

Dilengkapi tujuh beg udara, Golf R-Line hadir bersama rangkaian ciri keselamatan termaju seperti Maneuver Braking yang akan membrek kereta secara automatik apabila mengesan objek pada kelajuan 10 kilometer sejam (km/j) ketika memarkir kenderaan.

Sistem Brek Automatik Pasca Pelanggaran (Automatic Post Collision Brake System) pula berfungsi menekan brek secara automatik untuk menghalang impak lebih besar apabila terbabit dalam pelanggaran.

Golf R-Line didatangkan dengan ciri Rest Assist and Proactive Occupant Protection System yang melindungi pemandu dan penumpang selain Advanced Electronic Differential Lock (XDS) menawarkan lebih cengkaman ketika mengambil selekoh pada kelajuan tinggi.


ENJIN 1.4L TSI bercas turbo berkuasa.

Model terbaru ini didatangkan bersama Paparan Info Aktif bersaiz 12.3 inci dan skrin Composition Media bersaiz lapan inci yang dilengkapi ciri App-Connect (MirrorLink, Android Auto dan Apple Carplay).

Ciri lain termasuk lampu utama LED (dengan Lampu Membelok Dinamik), sistem pendingin hawa dua zon Climatronic, kamera undur, ‘KESSY’, brek parkir elektronik dan Pilihan Mode Pemanduan dengan empat mode berbeza iaitu Eco, Normal, Sport dan Individual.

Golf R-Line dijual pada harga RM166,990 seunit (tanpa insurans) dan didatangkan dalam warna kuning, biru, putih, hitam, perak serta kelabu.

Ingin memandu uji rangkaian model baru Golf, orang ramai boleh mengunjungi pengedar sah Volkswagen berhampiran atau layari laman web www.volkswagen.com.my untuk maklumat lanjut.


RUANG dalaman sungguh menarik.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Mei 2018 @ 12:19 AM