BAHAGIAN belakang dengan pintu elektrik.
PENGECAS mudah alih disediakan.
TEMPAT duduk baris kedua boleh dilipat penuh.
KEMASAN dalaman daripada material berkualiti tinggi.
VOLVO XC90 tampil elemen premium.
Oleh Lizam Ridzuan
lizamridzuan@nstp.com.my


Ketika sambutan ulang tahun ke-50 Volvo di Malaysia dua tahun lalu, model XC90 T8 Twin Engine dengan ciri kenderaan elektrik hibrid plug-in (PHEV) dilancarkan bersama rekaan lebih segar yang menawarkan penjimatan bahan api dengan opsyen mod elektrik.

Sebagai kenderaan PHEV pertama pemasangan tempatan (CKD) untuk Volvo, ia dibangunkan di atas platform baru Scalable Product Architecture (SPA) yang kini menjadi ciri utama rekaan signatur Volvo secara global.

Vroom Metro Ahad berpeluang menguji varian terbaru Volvo XC90 T8 Incription Plus yang menawarkan kemasan dalaman serta sistem bunyi premium sebagai ciri tambahan untuk model kenderaan utiliti sukan (SUV) mewah ini.

Sejak model XC90 diperkenalkan dalam pasaran global pada 2002, generasi kedua ini masih mengekalkan kapasiti muatan tujuh tempat duduk dengan saiz panjang kenderaan 4,950 milimeter (mm), lebar 2,140mm, tinggi 1,776mm serta jarak roda 2,984mm.

Sebagai sebuah SUV premium saiz pertengahan yang menawarkan ruang serta fleksibel untuk pelbagai tujuan, kenderaan ini juga mendapat pengiktirafan kenderaan cekap tenaga (EEV) daripada kerajaan, yang dilimpahi dengan pelbagai ciri keselamatan terbaik melindungi penumpang.

Melihat rekaan luaran XC90 ini, ia dilengkapi dengan lampu hadapan LED dan nyalaan siang (DRL) berkonsep bentuk ‘T’ ala penukul dalam filem Thor dan perincian gril hadapan serta logo antara ciri pembaharuan dan signatur yang terdapat pada XC90.

Bahagian but kini lebih lebar dengan rekaan lampu yang moden, unik serta jelas tidak kira apa jua keadaan cuaca menyerlahkan elemen rekaan terkini.

Rim aloi 10 jejari Inscription Diamond Cut bersaiz 20 inci menjadikan reka bentuk keseluruhan tampil lebih lasak dan agresif serta untuk tayar ia dilengkapi Sistem Pengawasan Tekanan Tayar Tidak Langsung (iTPMS) untuk maklumat kepada pemandu.

Melihat ke ruang dalaman menyerlahkan seni dan kemewahan dengan setiap penghasilan berkonsepkan elegan termasuklah ciri tablet Sambungan Sensus 9 inci pada papan pemuka dengan skrin sentuh dan sistem maklumat yang dibangunkan sendiri oleh Volvo.

Ia juga dimuatkan dengan fungsi kamera undur 12 pengesan serta paparan ‘bird’s eye view’ bagi memudahkan urusan keluar masuk parkir kenderaan ini.

Varian Inscription Plus ini didatangkan dengan 19 pembesar suara premium jenama Bowers & Wilkins membolehkan keseluruhan penumpang menikmati muzik dan bunyi terbaik dengan ciri akustik berkualiti tinggi ditawarkan.

Kemasan material berkualiti tinggi menggunakan lapisan kulit Nappa serta kayu asli, cermin kristal tuil gear daripada pembuat gelas terkemuka Sweden Orrefors menonjolkan segala yang terbaik dalam kabin.

Untuk pencahayaan semula jadi, ia juga dipasang bumbung panorama yang boleh dibuka dengan kuasa elektrik serta langsir suria untuk perlindungan cahaya panas ke ruang dalaman.

Berada di tempat duduk paling selesa dalam kelasnya dengan fungsi urutan dan sokongan lumbar termasuk larasan empat posisi elektrik bagi penumpang hadapan.

Ini termasuk ciri inovatif pada baris kedua untuk tiga penumpang termasuk kerusi boleh dilaras untuk kanak-kanak di tengah ciri standard juga barisan ketiga untuk dua dewasa bagi kapasiti muatan tujuh penumpang.

Bagi tujuan membawa lebih muatan semua kerusi di belakang boleh dijatuhkan dengan mudah serta fleksibel bagi disesuaikan dengan keperluan perjalanan anda.

Untuk pemanduan jentera yang dilengkapi enjin berkembar T8 1,969cc suntikan Sistem Pengecas Turbo dan Kuasa Pengecas dengan motor elektrik menghasilkan 407 kuasa kuda dan daya tork sehingga 640Nm.

Ia digerakkan pacuan semua roda untuk tenaga yang lancar serta meminimumkan penggunaan bahan api dengan penghasilan emisi serendah 49g/km.

Teknologi mesra alam Drive-E ini juga sebagai indikasi teknologi masa depan Volvo dengan opsyen menggunakan kuasa elektrik bagi menyumbang kepada penjagaan alam sekitar yang lebih mampan.

Untuk kepuasan memandu, enam mod boleh dipilih termasuk hibrid dengan hanya menekan satu punat untuk menukar kepada perjalanan tanpa emisi dan senyap menggunakan kuasa elektrik sepenuhnya yang mampu bergerak sejauh 40 kilometer (km).

Kuasa yang berterusan termasuk kelancaran dapat transmisi lapan kelajuan automatik Geartronic dapat dirasai di lebuh raya atau kawasan berbukit di mana enjinnya sentiasa bertenaga untuk memintas pada sebarang kelajuan dengan mudah.

Casis baru untuk pengendalian lebih mantap dengan sistem gantungan hadapan double wishbone dan suspensi angin kawalan elektronik lima mod pilihan tersedia.

Ketika melalui laluan tidak rata atau melayan selekoh kenderaan ini tetap stabil dan keseluruhan penumpang dapat menikmati keselesaan yang berterusan tanpa kekurangan dari segi prestasi.

Volvo sememangnya terkenal dengan ciri keselamatan terbaik disediakan dengan sasaran ‘zero fatalities’ untuk semua kenderaan keluaran mereka sejak pengenalan tali pinggang keledar pada 1959, Volvo terus mencipta inovasi bagi industri automotif dunia.

XC90 serba baru ini dilengkapi dengan pengesan keadaan laluan terutama jalan lasak (off-road) yang akan memperkemaskan tali pinggang keledar secara automatik bagi mengekalkan kedudukan penumpang lebih stabil.

Ini termasuk fungsi penyerap tenaga pada kerusi yang membantu mengelakkan kecederaan pada tulang belakang, serta brek automatik jika terdapat kereta datang dari arah bertentangan termasuk pejalan kaki atau penunggang basikal pada jarak yang ditentukan dengan sistem City Safety.

Secara keseluruhan model XC90 sebuah SUV berprestasi, selesa, praktikal dan premium dengan opsyen pemanduan elektrik dan bateri hibrid Lithium-Ion 10.4 kWh.

Untuk kuasa tenaga elektrik selain rumah, ia boleh dicas di semua lokasi pengecas awam yang terdapat di seluruh Malaysia dengan menggunakan pengecas mudah alih 240V dan fius 10A mengambil masa sekitar 3.5 jam untuk penuh.

Ciri keselamatan terbaik menjadi keutamaan seperti beg udara dua peringkat termasuk Kawalan Pelayaran Adaptif dengan Bantu Pemandu membolehkan ciri separa pemanduan autonomi bagi jarak selamat antara kenderaan hadapan dilakukan dengan mengawal pecutan dan membrek serta kawalan roda stereng secara automatik.

Rekaan luaran dan dalaman dengan tiga elemen gaya Scandinavian terdiri daripada authority, activity dan creativity digabungkan bagi menyerlahkan seni dan kemewahan dalam sebuah kenderaan.

Material berkualiti tinggi digunakan dan dilengkapi sistem bunyi terbaik Bowers & Wilkins, sistem kedudukan global (GPS), mod pemanduan, larasan pendingin hawa dan lain-lain fungsi pada sebuah tablet mudah digunakan.

Sesuai dengan sasaran jenama ini kepada golongan profesional, ia didatangkan dengan harga jualan RM413,888 (atas jalan tanpa insurans) termasuk lima tahun waranti dan khidmat bantuan Volvo tanpa had perbatuan ditawarkan serta pilihan warna Putih Ice, Hitam Onyx, Kelabu Saville, Gangsa Twilight dan Perak Bright.

SPESIFIKASI:

Volvo XC90 T8 Twin Engine Inscription Plus

Enjin: 1,969cc, 4 silinder, Sistem Pengecas Turbo dan Kuasa Pengecas

Kuasa maksimum: 407hp pada 5,700rpm

Tork maksimum: 640Nm pada 2,200 hingga 5,400rpm

Kapasiti petrol: 50 liter

Ciri keselamatan: Kawalan Jelajah Adaptif (ACC), Sistem Maklumat

Titik Buta (BLIS), Brek Anti-Kunci (ABS), Sistem Kestabilan Elektronik (ESC), Bantu Parkir, Isofix, Beg udara dua peringkat dan banyak lagi.

Harga: RM413,888 (atas jalan tanpa insurans)

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Mei 2018 @ 1:49 AM