KENDERAAN konsep EQ dipamer di Malaysia baru-baru ini.
Lizam Ridzuan

Kereta elektrik sebagai petanda teknologi masa hadapan dipertontonkan kepada umum dengan pengenalan kenderaan konsep jenama EQ daripada Mercedes-Benz.

Selaku jenama portfolio untuk Mercedes-Benz selain AMG dan Maybach, EQ adalah permulaan untuk pembangunan mobiliti masa depan yang berasaskan kenderaan elektrik dengan emisi sifar.

Membuat kemunculan pertama pada Pameran Motor Paris 2016, kenderaan bateri-elektrik generasi baru ini dibina dengan asas skala ukuran yang boleh disesuaikan untuk semua model jenama itu pada masa depan seperti Kenderaan Utiliti Sukan (SUV), salon dan coupe.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Mercedes-Benz Malaysia (MBM), Claus Weidner berkata, EQ yang membawa maksud Kepintaran Elektrik (Intelligence Electric) adalah teknologi berasaskan elektrik yang melangkaui asas kenderaan itu bagi kemudahan dan kelancaran perjalanan.

“Untuk perancanganjangka panjang, Mercedes-Benz menyasarkan pada 2022 setiap segmen kenderaan kami akan mempunyai pilihan varian kereta elektrik dan hibrid serta ekosistem mobiliti komprehensif seperti kemudahan mengecas yang ditambah serta dipertingkatkan,

“Bagi pasaran Malaysia, model C 350 e dan E 350 e kini dijenamakan bawah jenama EQ sebagai model awal ke arah teknologi elektrik penuh, “katanya ketika perasmian pameran EQ untuk rantau Asia Tenggara di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

RUANG kokpit pemandu ciri masa depan.

Untuk kenderaan konsep ini dibangunkan daripada material besi campuran dan gentian karbon dalam memenuhi spesifikasi dan idea untuk menghasilkan jentera yang ringan, teguh serta pada kos yang efisien.

Rekaan luaran avantgarde gaya kontemporari untuk SUV dengan elemen coupe dan ‘shooting brake’ pada bahagian belakang menyerlahkan ciri elektronya.

Ini memperlihatkan gaya peralihan daripada bahagian berkilat kepada bonet berwarna hitam dan bumbung panorama dipadankan warna kontra perak pada alubeam sebagai elemen reka bentuk gaya moden.

Selain itu, sambungan panel badan yang tidak kelihatan, penggilap cermin hadapan yang disembunyikan, kamera menggantikan cermin sisi luaran, pemegang pintu yang ditiadakan dengan roda aloi bersaiz 21 inci menyerlahkan gaya dinamik serta mengurangkan rintangan angin untuk lebih erodinamik.

BUMBUNG panorama.

Kenderaan konsep EQ ini juga dilengkapi ruang dalaman mewah terutama di kokpit pemandu dengan teknologi kawalan berasaskan sentuhan pada panel instrumen dengan skrin ‘terapung’ berukuran 24 inci TFT resolusi tinggi bagi paparan maklumat berkaitan seperti kelajuan, data pemanduan, pandu arah dan perincian peta tiga dimensi.

Elemen premium juga diperhalusi pada stereng dengan tiga jejari berserta butang dengan kawalan yang disekalikan dengan ciri Organic Light Emitting Diode (OLED) bagi kemudahan memilih menu dan ikon aplikasi hanya dengan sekali klik.

Lampu signatur untuk luaran dan dalaman dengan panel hitam pada gril hadapan yang dikelilingi cahaya biru untuk gaya baru daripada bentuk yang konvensional menjadikan ia tampil unik.

Untuk kuasa, ia dibekalkan dengan 300kW dengan daya kilas 700Nm yang dipercayai mampu memecut dari sifar ke 100 kilometer/sejam (km/j) bawah tempoh lima saat dan mampu bergerak sehingga 500km sebelum perlu dicas semula sekitar 10 minit untuk 100km.

PAPARAN navigasi tiga dimensi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Mei 2018 @ 2:15 AM