X
Bersama AHMAD SALIHIN ABD RAHIM


Saya memiliki Perodua Kancil 660 manual dan mendapati wujud bau kesan minyak di dalam kabin.

Saya tidak tahu apakah puncanya dan selain itu, asap ekzos juga memasuki ruang dalaman manakala RPM kereta juga tidak stabil. Apakah punca dan cara penyelesaiannya?

SYED HISHAMUDIN AHMAD,

Ipoh, Perak

Masalah dihadapi berkemungkinan besar gabungan beberapa masalah dalam enjin. Berdasarkan beberapa petanda atau simptom dinyatakan, mungkin kereta saudara sudah berusia tetapi tidak disenggara dengan baik.

Sesuatu kerosakan atau kekurangan pada kereta harus dikenal pasti supaya dapat menanganinya dengan cepat bagi mengelakkan kerosakan lebih teruk.

Bau petrol dalam kereta lazimnya berpunca daripada kebocoran sama ada di bahagian enjin atau kebocoran saluran penghantaran pada tangki bahan api. Kebocoran petrol mesti ditangani kerana wap petrol mudah terbakar apabila terdedah kepada percikan api yang kecil seperti litar pintas.

Dalam kes lain, bau petrol ini disebabkan campuran udara dan bahan api yang terlalu mewah, lalu meruap ke dalam enjin.

Periksa penalaan enjin kerana RPM enjin juga tidak lancar dan mungkin menyebabkan enjin tidak mampu membakar campuran bahan api dengan baik. Ini juga boleh terjadi jika mampatan enjin menurun disebabkan kebocoran mampatan, yang mungkin berpunca daripada kehausan atau kerosakan enjin.

Keadaan ini seterusnya menyebabkan kebocoran minyak pelincir ke dalam kebuk pembakaran dan turut dibakar lantas keluar dari ekzos dengan bau yang keras.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Julai 2018 @ 5:56 AM