SESI taklimat pertandingan.
Lizam Ridzuan

Perkhidmatan selepas jualan yang terbaik adalah kunci utama dalam mengekalkan pelanggan sedia ada, selain menarik pelanggan baru.

Untuk itu, Proton mengambil inisiatif menganjurkan Pertandingan Servis Selepas Jualan Proton 2018 untuk pekerjanya dan mencungkil bakat baru serta meningkat kemahiran sedia ada.

Ia juga platform terbaik dalam menguji keupayaan diri dalam bidang masing-masing yang memberi kesan terhadap kualiti kerja dan servis terbaik kepada pelanggan.

Pertandingan berlangsung dari 20 Julai sehingga 19 Ogos depan membabitkan ratusan kru selepas jualan (after sales) daripada pelbagai cawangan pengedar Proton di seluruh negara bersaing merebut hadiah wang tunai RM50,000 beserta insentif lawatan.

Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar, Abdul Rashid Musa berkata, pertandingan ini adalah sebahagian usaha berterusan pihaknya dalam memberi perkhidmatan lebih baik kepada pelanggan serta menambah dan menggilap kemahiran kakitangan.

ANTARA peserta yang menyertai pertandingan.

“Juruteknik dan kru selepas jualan yang muncul sebagai juara akan dibawa melawat ke ibu pejabat dan Pusat Penyelidikan Geely di China bagi memberi pendedahan lebih luas dalam proses membangunkan kenderaan yang sempurna,” katanya.

Menurutnya, modul pertandingan akan bermula dari peringkat daerah di mana peserta akan diberi tugas membaik pulih enjn dengan membuka dan memasang semula enjin Proton VVT dalam tempoh tiga jam.

“Penilaian berdasarkan kelajuan, ketepatan dan kecekapan terhadap penyelesaian masalah sepanjang proses ini.

“Persaingan sihat akan membina kualiti selepas jualan Proton dan membawa ke tahap lebih tinggi setanding jenama antarabangsa lain,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 Julai 2018 @ 12:00 AM