Azzman Abdul Jamalazzman

Azzman Abdul

Baru-baru ini, Ford Motor Company dan rakan pengedar tempatannya, Sime Darby Auto Connexion (SDAC) membawa masuk rangkaian Ford Ranger baharu sarat dengan teknologi ciri keselamatan dan kemudahan terbaik.

Rangkaian Ranger baharu itu membabitkan sembilan varian model XL, XLT, XLT+, Wildtrak dan Raptor.

Sempena pelancaran berkenaan penulis berkesempatan memandu uji varian XLT+ ke Ipoh, Perak.

Tidak dinafikan, wajah rangkaian Ranger baharu ini tiada banyak beza berbanding model sebelumnya kerana kebanyakan perubahan dilakukan terhadap 'dalaman' pikap itu.

Antara sentuhan baharu luaran adalah rekaan lampu utama projektor bersama lampu nyalaan siang (DRL) LED selain gril hadapan hadir dengan dua jalur melintang hingga ke hujung.

Dari segi kuasa, Ranger XLT+ menggunakan enjin baharu 2.0L empat silinder turbo tunggal yang menghasilkan kuasa 180Ps pada 3,500 rpm dan tork 420Nm pada 1,750 hingga 2,500 rpm.


DIKUASAKAN enjin diesel 2.0 liter turbo tunggal yang dipadankan dengan transmisi automatik 10 kelajuan.

Malah, varian ini digandingkan bersama transmisi automatik 10 kelajuan berserta SelectShift.

Janaan kuasa ini sama dengan varian Wildtrak 4X2 manakala Wildtrak 4X4 dan Raptor didorong enjin 2.0L Bi-Turbo.

Pembaharuan dari segi pemanduan agak ketara jika dibandingkan dengan model terdahulu.

Ia lebih senyap, sekali gus menerbitkan suasana selesa dalam kabin sepanjang perjalanan di lebuh raya.

Walaupun dipasang saiz tayar besar, pengendalian Ranger baharu sangat mudah hasil penambahan stereng bantuan kuasa elektronik sebagai ciri standard untuk semua varian.


GRIL hadapan dihiasi dua jalur melintang hingga ke hujung.

Penambahbaikan itu membuatkan trak berkenaan mudah dikendali sama ada memandu di kawasan bandar atau di lebuh raya.

Selain itu, penulis juga berasakan lantunan dalam trak baharu ini lebih baik berbanding model sebelum ini.

Justeru, penumpang berasa lebih selesa menaiki Ranger baharu ini.

Ini adalah hasil sistem suspensi baharu dipertingkatkan untuk mengurang kesan lantunan berkenaan.

Dalam pada itu, model XLT+ juga dilengkapi pelbagai aksesori baharu.


SENTUHAN baharu lampu utama projektor bersama lampu nyalaan siang (DRL) LED.

Misalnya, ia kini didatangkan bersama skrin infotainment 8 inci dengan sistem SYNC3 berplatform Android Auto dan Apple Carplay, panel instrumen TFT empat inci, tempat duduk bersalut kulit serta rim 18 inci.

Ia juga dilengkapi sistem kemasukan dan penghidup enjin tanpa kunci.


MENAMPILKAN skrin sesentuh lapan inci yang dilengkapi penghubung Bluetooth serta Apple Carplay dan Android Auto.

Seperti varian Wildtrak, XLT+ didatangkan dengan ciri Pengangkat Pintu But yang pertama untuk trak bagi memudahkan urusan memunggah barang.

Dengan mekanisme baharu itu, pintu barangan kini lebih ringan untuk diangkat dan kurang 70 peratus tenaga diperlukan untuk menutupnya.


DIDATANGKAN ciri Pengangkat Pintu But yang pertama untuk trak bagi memudahkan urusan memunggah barang

Kesimpulannya, tahap keselesaan dan kawalan sesebuah pikap sememangnya tidak dapat menyamai kenderaan sedan tetapi penambahbaikan pada Ranger baharu boleh dikatakan berjaya merapatkan jurang antara dua-kedua segmen ini.

Walaupun dengan kapasiti enjin lebih kecil, ia tetap berkuasa, malah lebih lasak dan pintar.

Ranger XLT+ ditawarkan pada harga RM124,888 (tanpa insurans) dengan pilihan warna Aluminium Metallic, Biru Lightning, Putih Frozen dan Hitam Absolute.


DILENGKAPI sistem suspensi baharu dipertingkat untuk mengurangkan kesan lantunan.

FORD RANGER XLT+

• ENJIN: Diesel 1,996cc turbo tunggal dengan VGT

• KUASA MAKSIMUM: 180 PS @ 3,500 rpm

• TORK MAKSIMUM: 420 Nm @ 1,750 - 2,500 rpm

• CIRI KESELAMATAN: Dua beg udara, ABS, EBD, ESC, EBA, HDC, HLA, ROM, TSC, ALC

• HARGA: RM124,888 (tanpa insurans)

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 November 2018 @ 8:03 AM