GAYA jentera lasak sejati.
Mohd Razlan Salleh

Jenama Ford dengan kehebatan model pikap Ranger Raptor memang tidak asing lagi bagi peminat pacuan empat roda dan kenderaan lasak terutama ketika melihat kelibat jentera berkenaan di kaca televisyen.

Ini kerana model itu pada awalnya hanya untuk pasaran Eropah dan mustahil untuk pengedar sah tempatan jenama berkenaan, Sime Darby Auto Connexion Sdn Bhd (SDAC) untuk melancarkannya.

Namun, seakan impian menjadi kenyataan, SDAC yang melihat kecenderungan peminat jentera lasak terhadap model berkenaan mengambil langkah berani melancarkan varian terbaharu Ranger Raptor ke pasaran tempatan.

BAHAGIAN belakang kemas.

Malah, penulis juga menjadi antara media terawal berkesempatan memandu uji jentera lasak itu walaupun hanya pada tempoh waktu singkat.

Sekilas pandang, tiada perbezaan ketara antara model Ranger dengan varian Raptor kecuali bagi mereka yang benar-benar ‘mengidam’ untuk memilikinya.

GRIL hadapan garang.

Paling mudah untuk mengenali varian tertinggi Ranger ini sudah pasti susuk tubuhnya yang lebih lebar berbanding adik-beradiknya yang lain.

Ini kerana Raptor 150 milimeter (mm) lebih lebar dan 50mm lebih tinggi berbanding varian Ranger standard.

PEMIJAK sisi lebar.

Ketinggian ini kerana Raptor didatangkan dengan sistem suspensi Fox Racing Shock 2.5 inci sebagai ciri standard.

Gril hadapan berwarna hitam matte memaparkan dengan jelas perkataan ‘Ford’ yang menjadi signatur Raptor.

SUSPENSI Fox Racing Shock 2.5 inci.

Selain bahagian hadapan, Ranger Raptor turut hadir dengan rim hitam bersaiz 17 inci dengan tayar lasak daripada BF Goodrich All-Terrain.

Padanan bampar berwarna hitam selain pelindung enjin pada bahagian bawah hadapan menjadikan pikap raksasa ini kelihatan sangat gagah.

RIM 17 inci dengan tayar pelbagai permukaan.

Walaupun memiliki DNA lasak, ruang dalaman tetap menampilkan ciri mewah dengan tahap keluasan dan keselesaan maksimum.

Paling menarik sudah pasti kerusi eksklusif tertera emblem Raptor pada perehat kepala.

KERUSI eksklusif bersama emblem.

Sepanjang memandu, penulis tidak berasa penat kerana postur kerusi berkenaan sangat menyokong tubuh pemandu selain lebar dan selesa.

Untuk lebih yakin, balutan stereng kulit memastikan pemandu dapat mengawal jentera dengan baik sama ada di jalan biasa atau lasak.

STERENG dengan butang kawalan.

Papan pemuka boleh dikatakan padat tetapi tersusun kemas dan nampak menarik walaupun ia sebuah pikap.

Ruang tengah menempatkan skrin sentuh bersaiz lapan inci SYNC 3 memaparkan pelbagai maklumat dan infotainmen yang membolehkan pemandu menikmati pelbagai hiburan.

SKRIN sentuh bersaiz lapan inci SYNC 3.

Cuma berhubung melalui telefon pintar dengan aplikasi Apple CarPlay, Android Auto dan AppLink, segalanya menjadi mudah termasuk membuat panggilan telefon.

Malah, teknologi SYNC 3 membolehkan ia diaktifkan hanya dengan menggunakan suara.

Menyentuh mengenai nadi Raptor, raksasa lasak ini dijana enjin empat silinder 2.0L EcoBlue dengan Bi-turbo.

Enjin termaju ini menjana kuasa 213 PS pada 3,750 rpm manakala daya kilas maksimum setinggi 500 Nm pada 1,750 hingga 2,000 rpm, dipadankan bersama transmisi automatik 10 kelajuan dengan ciri SelectShift.

TRANSMISI 10 kelajuan.

Oleh kerana Raptor adalah sebuah jentera berkuasa, ia hadir dengan ciri terbaik antaranya lampu utama Xenon dengan lampu nyalaan siang (DRL) dan lampu kabus LED, sistem pintar tanpa kunci, butang penghidup enjin, lampu dan pengelap cermin automatik.

Selain itu, ciri keselamatan turut dititik berat apabila varian ini dilengkapi beg udara hadapan, tirai dan sisi, Brek Anti-Kunci (ABS), Edaran Daya Brek Elektronik (EBD), Kawalan Kestabilan Eletronik (ESC) dengan Sistem Daya Tarikan (TC), Bantuan Mula Mendaki (HSA), Kawalan Menuruni Curam (HDC), Kawalan Beban Adaptif (ALC) dan banyak lagi.

ENJIN 2.0L EcoBlue Bi-turbo.

Untuk pasaran tempatan, Ford Ranger Raptor dijual pada harga RM199,888 (tanpa insurans) dengan dua pilihan warna iaitu Lightning Blue dan Conquer Grey.

FORD RANGER RAPTOR

• ENJIN: Empat silinder 2.0L EcoBlue Bi-turbo

• TRANSMISI: 10 kelajuan SelectShift

• KUASA MAKSIMUM: 213 PS @ 3,750 rpm

• TORK MAKSIMUM: 500 Nm @ 1,750-2,000rpm,

• CIRI KESELAMATAN: Beg udara hadapan, tirai dan sisi, ABS, EBD, ESC dengan TC, HSA, HDC, ALC.

• HARGA: RM199,888 (tanpa insurans)

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 January 2019 @ 7:01 AM